12 artis meriah merdeka

Source: Harian Metro - 30 August 2012

MENJELANG tengah malam ini, laungan keramat Merdeka akan bergema di seluruh pelosok negara bagi meraikan sambutan ulang tahun Kemerdekaan Malaysia ke-55. Ketika ini juga, semua pihak sama-sama menggembleng tenaga bagi meraikan hari bersejarah yang sewajarnya disambut semua warganegara Malaysia tanpa mengira ideologi politik, bangsa dan agama.

Mengambil langkah serupa, pasar raya besar Mydin turut menganjurkan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di Mydin Meru Raya, Ipoh selama dua hari bermula malam ini (Khamis) dan esok (Jumaat). 

Jurucakap penganjur, Sam Mydin berkata, memandangkan Mydin Meru Raya baru dibuka, program ini julung kali diadakan bagi meraikan pelanggan yang berada di Ipoh serta kawasan sekitarnya. 
“Kami berasa terpanggil untuk sama-sama meraikan sambutan kemerdekaan negara bersama pelanggan setia.

HM Program ini akan berlangsung di ruang legar Mydin Meru dan pelbagai pengisian akan diadakan termasuk persembahan kebudayaan, sketsa patriotik dan persembahan daripada 12 artis tanah air. 
“Barisan artis terbabit ialah Salamiah Hassan, Shima Teringin, Erry Putra, Siti Saida, Mohd Mentor, Zarina AF, Azam Pitt, Acong Sweet Child, Ifa Raziah, Amran Ismail dan pasangan Roslan Shah dan Azza Elite sebagai pengacara. 

“Untuk malam ini, persembahan akan bermula pada jam 9 malam sehingga menjelang detik ulang tahun kemerdekaan pada tengah malam.

Memandangkan kita masih dalam ‘mood’ raya, semua artis akan memakai baju Melayu dan baju kurung. 

“Mereka akan menyampaikan lagu popular masing-masing serta lagu patriotik buat peminat. Menariknya menjelang jam 12 tengah malam, barisan artis ini yang diterajui Roslan Shah akan beramai-ramai menyanyikan lagu Tanggal 31 yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

“Selain itu kami turut mengadakan acara cabutan bertuah buat pelanggan serta menganjurkan segmen pertandingan memakai samping, teka lagu raya dan menganyam ketupat yang membabitkan penyertaan penonton. 

“Sementara acara persembahan pada Jumaat akan bermula dari jam 4 petang hingga 6 petang. Sekali lagi kami akan menampilkan pelbagai persembahan menarik buat peminat termasuk sketsa patriotik. Diharap mereka hadir beramai-ramai ke Mydin Meru Raya untuk menyaksikannya,” katanya.