3.2 Juta Peluang Kerja

Source: Harian Metro - 29 May 2012

Petaling Jaya: Kerajaan mengunjurkan hampir 3.2 juta peluang pekerjaan bakal ditawarkan kepada graduan di seluruh negara menjelang 2020 dan daripada jumlah itu 595,000 adalah daripada sektor pemborongan dan peruncitan yang dihasilkan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP). Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, biarpun kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini tidak menawarkan secara langsung kedua-dua jurusan berkenaan, namun bidang itu berpotensi besar untuk maju dan berkembang pesat sebagai sektor tumpuan baru yang harus diterokai.

Peluang Kerja Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Pusat Kecemerlangan Industri Pemborongan dan Peruncitan (ICoE) di Kolej SEGi, Kota Damansara, di sini, semalam anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pertubuhan Kitaran Peruncit Malaysia (MRCA), Mydin Mohamed Holdings Berhad, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Mohamed Khaled berkata, laporan SME 2009/2010 menunjukkan 99 peratus penyumbang kepada pembangunan negara dihasilkan daripada perusahaan kecil dan sederhana manakala satu peratus adalah syarikat konglomerat.

“Melihat perkembangan itu, KPT mengambil inisiatif menganjurkan ICoE kali kelima dengan memberi tumpuan kepada sektor pemborongan dan peruncitan yang mana ia mampu memberi kebaikan kepada graduan terutama dalam membangunkan modal insan,” katanya. Menurutnya, ICoE yang dipacu Industri Tonggak diterajui dua universiti teras iaitu UiTM dan UUM yang bakal merencanakan pembangunan sektor pemborongan dan peruncitan di kalangan graduan. “MRCA yang dianggotai 10,000 peruncit dan 206 syarikat turut membuka tawaran praktikal kepada 8,000 pelajar pada tahun ini di 10,000 cawangan miliknya dan pada tahun depan ia dijangka membuat pengambilan seterusnya sebanyak 8,800 pelajar,” katanya.

Kata Mohamed Khaled, bagi MYDIN, pihak itu membuka tawaran praktikal kepada 1,178 pelajar pada tahun ini, 1,428 pelajar pada tahun depan dan 3,175 pada 2014. “Selain itu, program ICoE turut membuka peluang kepada pelajar untuk menjalankan kerja sambilan di kedua-dua syarikat berkenaan terutama pada cuti semester. Pelajar yang berminat bolehlah berhubung terus bersama MRCA dan MYDIN memohon kerja dan membantu mereka menembusi pasaran di India dan Indonesia,” katanya. Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Rujhan Mustafa; Presiden MRCA, Datuk Nelson Kwok; Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin; Naib Canselor UiTM, Datuk Sahol Hamid Abu Bakar; Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak dan Naib Canselor Kolej Universiti SEGi, Prof Emeritus Dr Muhamad Awang.