5,000 Kedai Runcit Tradisional dimodenkan

Kerajaan menyasarkan sebanyak 5,000 kedai runcit dapat dimodenkan menjelang 2020 bagi meningkatkan daya saing dalam perniagaan peruncitan supaya lebih kompetitif di bawah program Tukar (transformasi kedai runcit).
Source: Utusan Malaysia - 18 January 2011

PUTRAJAYA 18 Jan. - Kerajaan menyasarkan sebanyak 5,000 kedai runcit dapat dimodenkan menjelang 2020 bagi meningkatkan daya saing dalam perniagaan peruncitan supaya lebih kompetitif di bawah program Tukar (transformasi kedai runcit).

Ismail Sabri Yaakop menyatakan sesuatu kepada Ameer Ali Mydin (tiga dari kanan) sambil diperhatikan oleh Cedric Bouvet (kiri), Tjeed Jegen (dua dari kanan), Rohani Abdul Karim (kanan) dan Tan Lian Hoe (dua dari kiri) pada majlis Tukar di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai permulaan sebanyak 500 buah kedai runcit telah terpilih sebagai printis di bawah program itu di seluruh negara.

"Pelaksanaan Tukar dijangka menyumbang kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) sebanyak RM5.56 bilion dan mewujudkan sebanyak 51,540 peluang pekerjaan menjelang 2020.

"Kedai-kedai runcit tempatan perlu dinaik taraf untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan pelanggan, menyelaraskan kualiti perniagaan, mempromosikan rantaian penawaran pada kos efektif dan efisien serta menggalakkan penjualan produk berkualiti tinggi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum dan perjanjian pembiayaan projek Tukar di antara kementeriannya dengan pasar raya besar Mydin, Carrefour, Tesco dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat).

Menurut Ismail Sabri, ketiga-tiga buah pasar raya besar itu akan berperanan sebagai perunding yang bukan sahaja menukar susun atur tetapi juga memberi latihan dari segi pengurusan, akaun dan pemikiran pemilik kedai runcit.

Katanya, pemilik kedai masih boleh mengekalkan nama kedai masing-masing dan tempoh latihan akan diberikan antara satu hingga tiga bulan supaya pengusaha lebih profesional.

"Mereka boleh membuat pinjaman mudah dengan Bank Rakyat antara RM20,000 hingga RM60,000 untuk membolehkan kedai runcit tradisional dimodenkan dan diubahsuai.

Beliau memberitahu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut terlibat memodenkan 100 buah kedai runcit di bawah kendaliannya pada tahun ini.

Kementerian itu, katanya, turut mengalu-alukan penglibatan pasar raya tempatan untuk membantu memodenkan kedai runcit tradisional.

"Pemilik kedai juga tidak dipaksa membeli barang-barang yang dibekalkan oleh pasar raya yang menjadi perunding mereka sebaliknya bebas memilih pasar raya yang menawarkan harga termurah," katanya.

Mengulas lanjut mengenai rasional kerajaan melaksanakan program Tukar, beliau berkata, salah satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) ialah Pemborongan dan Peruncitan dengan 13 projek pemula yang dikenalpasti dapat menyumbang RM83.4 bilion GNI dan mewujudkan 370,000 pekerjaan baru merangkumi pelbagai jawatan seperti pengurusan, profesional dan teknikal sepanjang 10 tahun akan datang.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim dan Tan Lian Hoe ; Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Stores (M) Sdn. Bhd., Tjeerd Jegen; Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin dan Ketua Pegawai Kewangan Magnificient Diagraph Sdn. Bhd. (Carrefour), Cedric Bouvet.