MYDIN Buka Cawangan DI Alor Setar

Source: Berita Harian - 16 March 2012

Mydin Mohamed Holdings Berhad, pengendali rangkaian pasar raya besar tempatan, membuka peluang kepada pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kedah untuk memasarkan produk mereka di cawangan terbaru pasar raya besarnya, yang dibuka di Taman Saga, Alor Setar, Kedah. Pasar raya Besar MYDIN Taman Saga itu adalah cawangan yang kelapan dibuka selepas Kulai Jaya, Johor yang dilancarkan pada penghujung Disember tahun lalu.

Pengarah Operasinya, Azmin Saduruddin berkata usahawan PKS yang berminat untuk memasarkan produk keluaran masing-masing boleh menghubungi MYDIN pada bila-bila masa bagi mendapatkan keterangan lanjut. Kini, katanya, dianggarkan kira-kira 60 peratus produk yang dijual di pasar raya MYDIN adalah terdiri daripada produk keluaran PKS tempatan. “MYDIN mempamerkan produk PKS di ruang utama sama seperti produk jenama terkenal lain. Ia sekaligus memberi kelebihan kepada usahawan tempatan untuk memajukan lagi perniagaan mereka.

“Kita amat mengalu-alukan penyertaan mereka kerana konsep kita yang lebih bersifat setempat dan mesra pengguna terutama kepada pelanggan sekitar kawasan yang terdapat cawangan MYDIN. “Cara ini akan membuatkan kami lebih dekat dengan pengguna,” katanya pada sidang media selepas pelancaran pasar raya besar MYDIN Taman Saga, Alor Setar semalam. Azmin berkata, bagi cawangan baru yang dilancarkan itu, pihaknya menyasar jualan sehingga RM10 juta sebulan. Katanya, walaupun terdapat saingan daripada pasar raya besar lain, MYDIN tetap optimis dengan potensinya susulan kumpulan itu mempunyai daya saing untuk mengekalkan prestasi jualannya.

“Kos pembinaan bangunan baru ini menelan belanja RM34 juta, termasuk kos pengubahsuaian RM8 juta yang membabitkan keluasan keseluruhan kira-kira 9,000 meter persegi. “Daripada jumlah itu, keluasan pasar raya adalah kira-kira 3,700 meter persegi dan kami turut menyediakan sebanyak 22 lot kedai di bahagian dalam pasar raya dengan keluasan antara 10 meter hingga 40 meter persegi. Manakala, di bahagian luar kami menyediakan lot bazar yang boleh memuatkan 18 lot bazar. “Pelaburan besar ini jelas membuktikan kesungguhan MYDIN untuk menjadi sebahagian daripada faktor pembangunan untuk negeri ini. Di samping itu, ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan serta memberi peluang kepada usahawan tempatan membawa masuk produk mereka,” katanya.