MYDIN Sasar RM10J Sebulan di Alor Setar

Source: Harian Metro - 16 March 2012

Pengendali pasar raya besar Mydin, Mydin Mohamed Holdings Bhd menyasarkan jualan bulanan mencecah RM10 juta bagi cawangan terbarunya di Taman Saga, Alor Setar, Kedah, iaitu cawangan pertama dibuka di negeri berkenaan.

Pengurusnya, Azmin Saduruddin berkata, sasaran itu dianggap bersesuaian berikutan lokasi strategik pasar raya yang terletak berhampiran taman perumahan selain berkedudukan hampir susur masuk Lebuhraya Utara-Selatan. Beliau yang juga Pengurus Besar Mydin Wilayah Utara berkata, pembinaan bangunan pasar raya itu menelan belanja RM34 juta termasuk kos pengubahsuaian RM8 juta membabitkan keluasan keseluruhan 9,000 meter persegi.

“Keluasan pasar raya ini 3,700 meter persegi dan kami turut menyediakan 22 lot kedai di bahagian dalam dengan keluasan antara 10 dan 40 meter persegi, manakala di bahagian luar kami menyediakan lot bazar memuatkan 18 lot kedai. “Pelaburan besar ini jelas membuktikan kesungguhan Mydin menjadi sebahagian daripada faktor pembangunan bagi negeri ini. Ini juga mewujudkan peluang pekerjaan serta memberi peluang kepada usahawan tempatan menjual produk mereka,” katanya selepas majlis perasmian Pasaraya Mydin Taman Saga, Alor Setar, semalam. Azmin berkata, pihaknya mengamalkan konsep pemilihan produk yang memberi keutamaan kepada produk industri kecil sederhana (IKS), sekali gus membantu memasarkan produk termasuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menurutnya, produk IKS diletakkan di tempat mudah dilihat berbanding produk terkenal lain kerana pihaknya percaya kaedah itu membantu pengusaha bersaing dalam pasaran tempatan. Difahamkan, Mydin akan membuka enam lagi pasar raya besar termasuk di Perak, Johor, Pulau Pinang dan Melaka bagi mewujudkan jenama Mydin di seluruh negara dengan tawaran produk berkualiti tetapi pada harga lebih rendah.