MYDIN Buka Pasar Raya Besar Ke-8 di Alor Setar

Source: Kosmo

Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) mengukuhkan kedudukannya di negeri ini dengan membuka sebuah cawangan Pasar Raya Besar Mydin di Taman Saga di sini melibatkan kos RM34 juta. Pengurus Pasar Raya Besar Mydin cawangan Utara, Azmin Saduruddin berkata, pembukaan cawangan pasar raya besar itu membolehkan syarikat tersebut menawarkan aneka produk pada harga rendah kepada penduduk sekitar.

“Kami menyasarkan jualan sebanyak RM10 juta sebulan melalui kehadiran pasar raya ini,” katanya pada majlis pelancaran Pasar Raya Besar Mydin Taman Saga di sini semalam. Azmin memberitahu, sebelum pembukaan pasar raya besar itu, penduduk di negeri ini hanya berpeluang membeli-belah di rangkaian Mydin Mart Alor Setar yang terletak di Jalan Mahsuri.

“Keluasan bangunan pasar raya ini ialah kira-kira 9,662 meter persegi dan dilengkapi pelbagai kemudahan awam seperti surau, tandas dan medan selera. “Selain itu, bagi memeriahkan lagi suasana perniagaan, kami turut menyediakan 16 lot gerai di sudut dalaman dan 18 lot bazar di bahagian luar yang menawarkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan,” ujarnya. Beliau berkata, MYDIN kini merancang untuk menambah bilangan pasar raya besarnya di seluruh negara. Antara lokasi yang telah dikenalpasti ialah Bandar Meru Raya dan Manjoi, Perak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Taman Rinting dan Mutiara Rini, Johor Bahru dan Jasin, Melaka.