Pasar Raya Baru MYDIN Tawar 700 Peluang Kerja

Source: Berita Harian - 19 May 2012

Mydin Mohamed Holdings Bhd membuka pasar rayanya yang ke-9 dan terbesar di Ipoh dengan menawarkan kira-kira 700 peluang pekerjaan baru. Pasar raya tiga tingkat seluas 237,300 meter persegi di Meru Raya itu turut menampilkan konsep mesra alam dan kelestarian alam sekitar apabila ia dilengkapi panel solar serta hanya menggunakan lampu T5 yang lebih menjimatkan elektrik, sementara kawasan sekitar dipenuhi pelbagai pokok hiasan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata syarikat berkenaan melabur kira-kira RM200 juta bagi pasar raya pertama MYDIN di Perak itu dengan RM150 juta membabitkan kos pembinaannya. “Pembukaan di Meru Raya ini berbeza dengan lapan pasar raya besar MYDIN lain kerana konsepnya adalah sebuah kompleks beli-belah. “Ia turut menyediakan pusat bowling 32 lorong serta dilengkapi pentas kekal untuk mana-mana pihak menganjurkan pelbagai acara pada harga murah, manakala bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula, ia disediakan secara percuma.

“Justeru, pembukaan pasar raya MYDIN ini diharap akan memberi manfaat dan alternatif pusat beli-belah untuk rakyat Perak khususnya penduduk sekitar Meru, Jelapang, Chemor, Ipoh, Manjoi dan Kuala Kangsar,” katanya pada sidang media selepas perasmian pasar raya besar itu semalam. Perasmiannya disempurnakan Pengasas dan Pengerusi MYDIN, Mydin Mohamed. Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim. Sementara itu, Ameer berkata, syarikat itu mengunjurkan memperoleh pulangan daripada pelaburannya bagi pasar raya berkenaan dalam tempoh antara lima hingga tujuh kerana konsep pasar raya itu yang menjual barangan pada harga murah.