Cawangan Terbesar

Source: Harian Metro - 21 May 2012

Pasar Raya Besar MYDIN melakar sejarah tersendiri apabila membuka cawangan terbesar di negara ini berbanding 98 cawangan sedia ada di seluruh negara di Meru Raya di Ipoh, Perak sekali gus menawarkan 700 peluang pekerjaan baru kepada penduduk setempat selain menampil konsep mesra alam.

Pasar raya tiga tingkat berkeluasan 237,300 meter persegi itu menggunakan panel solar serta lampu T5 yang lebih menjimatkan elektrik serta mesra pengguna selain kawasan sekitarnya dipenuhi pelbagai tanaman pokok hiasan. Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Datuk Ameer Ali Mydin, berkata, syarikat itu melabur kira-kira RM200 juta bagi pembukaan MYDIN pertama di Perak membabitkan kos pembinaan bangunan berkenaan. “Pembukaan MYDIN di Meru Raya berbeza dengan lapan pasar raya besar lain kerana konsepnya sebuah kompleks beli-belah selain terdapat pentas dan kawasan mengadakan acara yang kekal. “Oleh itu, pembukaan ini diharap memberi manfaat dan alternatif pusat beli-belah untuk rakyat Perak khususnya penduduk sekitar Meru, Jelapang, Chemor, Ipoh, Manjoi dan Kuala Kangsar,” katanya pada sidang media selepas perasmian pasar raya besar itu oleh Pengasas dan Pengerusi MYDIN, Mydin Mohamed, di Ipoh, Perak.

Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim, Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Rosli Ahmad dan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Perak, Superintendan Shahrul Othman Mansor. Ameer berkata, pihaknya mengunjurkan tempoh antara lima hingga tujuh tahun untuk memperoleh pulangan pelaburan (ROI) di MYDIN Meru Raya kerana konsep pasar raya itu adalah menjual barangan pada harga murah dan mampu dibeli rakyat tempatan.