ICoE Memacu Negara Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi

Source: Utusan Malaysia - 25 May 2012

Bagi menyokong pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melancarkan Pusat Kecemerlangan Industri atau Industry Centre of Excellence (ICoE) di Kolej SEGI pada 28 Mei ini. Pusat ICoE yang akan dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ini memberi fokus kepada pembangunan modal insan dari peringkat lepas sekolah, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda dan perkongsian teknologi iaitu melalui Program Pembangunan Pembekal (Vendor Development Porgram).

Penubuhan ICoE ini bertujuan memenuhi salah satu daripada 12 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam industri perkhidmatan kewangan sehingga industri pelancongan. Daripada 12 bidang tersebut, kluster borong, peruncitan dan pengagihan telah dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar dalam pengwujudan kerja baru menjelang 2020 itu sebanyak 595, 000. Dalam aspek ini, ICoE sedang dibangunkan Malaysian Retailer-Chains Association (MRCA) bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan disokong oleh Kolej Universiti SEGI dan ICoE Mydin Mohamed Holdings bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM).

MRCA dan Mydin Mohamed Holdings merupakan antara persatuan dan syarikat yang memainkan peranan utama dalam bidang borong, peruncitan dan pengagihan di negara ini. Persatuan MRCA dianggotai oleh lebih 200 rantaian kedai runcit serta francaisor dan menaungi hampir 10,000 cawangan di seluruh Malaysia. Dengan rangkaian yang luas, ia berupaya mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara. Penglibatan MRCA ini dapat membantu dalam aspek pembangunan modal insan dan juga membuka peluang pekerjaan melalui kerja sementara yang dibuka untuk mereka yang masih menuntut di universiti, politeknik, kolej komuniti, kolej swasta dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang berhampiran.

Mydin Mohamed Holdings pula merupakan syarikat pemborong tempatan yang terkenal dengan variasi konsep perniagaan yang dimiliki antaranya hypermarket, mini market, emporium, bazaar, Mydin Mart, MyMart dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) serta mempunyai cawangan hampir di seluruh negara. Kepelbagaian konsep perniagaan ini secara tidak langsung membantu pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) negara serta menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran dan peluang pekerjaan. ICoE MYDIN bergerak jauh ke hadapan membantu pembekal, usahawan, peruncit dan pengusaha IKS untuk bersaing secara kompetitif dalam industri berpandukan konsep 5P, iaitu Produk, Penyelarasan Harga, Perkhidmatan, Promosi dan Pasaran. Malah, ICoE MYDIN juga berperanan sebagai pemberi khidmat nasihat, menyediakan peluang pasaran dan memberi bimbingan teknikal kepada syarikat vendor.