TUKAR, Ubah Imej Kedai Runcit

Source: Utusan Malaysia
- 06 June 2012

Tahun lalu, pelanggan tetap Pasar Mini Maznah Gemilang Enterprise di Jasin, Melaka, terkejut dan secara spontan berseloroh menyatakan mereka salah masuk kedai kerana kagum dengan perubahan yang dilakukan terhadap susun atur dan kekemasan premis berkenaan. Perubahan itu berpunca kerana kedai runcit mini yang dimiliki Maznah Hussin, 48, telah dipilih sebagai projek perintis Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR).

Transformasi yang dialami oleh kedai yang dibuka sejak 2007 itu adalah dari segi penyusunan semula reka letak barangan jualan, premis dicat baru, pemasangan lantai berjubin dan sistem pencahayaan yang lebih terang. Turut diperkenalkan adalah penggunaan sistem di tempat jualan atau Point of Sales (POS) dalam membantu Maznah memantau jualan dan stok barangan dengan lebih efisien, sistematik dan teratur. Selain Maznah, seorang lagi peruncit, Francisca Jayanathan, 45, yang memiliki Pasar Mini di Merlimau turut terbabit dengan projek perintis terbabit.

Kedua-dua kedai dengan imej baru itu telah dirasmi sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Februari 2011. Program transformasi itu diselia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan manakala pinjaman disalurkan menerusi Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat). Pasar raya besar seperti MYDIN, Carrefour dan Tesco pula berperanan sebagai konsultan kepada peruncit dalam aspek susun atur kedai, menyediakan latihan pengurusan, akaun dan memberi motivasi kepada pemiliknya. Ia merupakan salah satu projek permulaan (EPP) yang telah dikenal pasti kerajaan bagi memodenkan kedai runcit tradisional untuk meningkatkan tahap daya saing dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif. Langkah itu juga dapat menghapuskan tanggapan bahawa kedai runcit yang lebih dikenali di Amerika Syarikat (AS) sebagai kedai 'Mom and Pop' akan pupus.

Penulis, Alex Marshall pada 2001 pernah meramalkan dalam bukunya 'How Cities Work' bahawa kedai sedemikian tidak mampu bersaing dengan pasar raya besar AS seperti Wal-Mart dan akhirnya akan bankrap. Bagaimanapun, sehingga ke hari ini ramalan itu tidak menjadi kenyataan kerana pelanggan terus mengunjungi kedai runcit sedemikian disebabkan mereka lebih percaya kepada kualiti barangan dan harga yang ditawarkan oleh kedai yang pemiliknya telah dikenali mereka secara peribadi sejak sekian lama. Pelanggan juga gemar menjadikan kedai seperti itu sebagai tempat untuk berjumpa dan bersosial dengan jiran. Dalam pada itu, Shaharudin Asmuin, pemilik Kedai Runcit ST First Enterprise di Puchong, Selangor ketika ditanya Utusan Malaysia baru-baru ini mengakui program TUKAR telah mendapat sambutan menggalakkan daripada para peruncit. "Saya yang telah menyertai program ini sejak November lalu mendapati jualan telah meningkat berkali-kali ganda kerana pelanggan tertarik dengan suasana kedai yang lebih tersusun dan bersih.

"Ia bagi membolehkan lebih ramai peruncit yang berbilang kaum terlibat dengan program yang amat berfaedah ini," ujarnya. Tahun ini sehingga 6 April lalu, sebanyak 107 kedai runcit telah berjaya dimodenkan di bawah program TUKAR manakala 393 kedai lagi sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan di seluruh negara. Pada tahun lalu pula, sebanyak 519 kedai runcit telah terbabit dengan program TUKAR. Setakat ini, dana yang diperuntukkan untuk program itu adalah sebanyak RM81 juta. Jumlah itu akan ditambah dari semasa ke semasa bagi mencapai sasaran supaya 5,000 daripada keseluruhan 50,000 kedai runcit di seluruh negara menyertai program TUKAR menjelang 2020. Seorang lagi peserta, Fatimah Bibi Moideen Kutty yang membuka kedai runcit di Bestari Jaya, Selangor, turut mengakui program itu telah dapat menarik lebih ramai pelanggan mengunjungi kedainya. "Saya mendapati penggunaan sistem komputer di tempat jualan atau POS tidak sukar untuk dipelajari bagi membolehkan pengiraan stok dan hasil jualan dilakukan dengan pantas. "Syarat-syarat yang ditetapkan untuk menyertai program ini juga adalah munasabah dan tidak membebankan peruncit," katanya.

Antara syarat-syarat untuk menyertai TUKAR adalah perniagaan 100 peratus milik rakyat tempatan, pemilik berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sah untuk mengusahakan kedai runcit. Pemilik kedai runcit juga mesti berumur 23 tahun ke atas dan tidak melebihi 60 tahun serta kedai terbabit telah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun. Pembiayaan yang diberikan antara RM20,000 hingga RM60,000 setiap kedai melibatkan kos pengubahsuaian premis perniagaan dan pembelian peralatan. Tempoh bayaran balik pinjaman adalah selama tujuh tahun dengan caj perkhidmatan yang dikenakan adalah sebanyak tiga peratus setahun. Sementara itu, Pengerusi Koperasi Kakitangan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (KPKPS) Berhad, Ahmad Seri, mencadangkan supaya lebih banyak koperasi diberikan peluang menyertai program Tukar.

"Jualan harian kedai kami di Bangunan KPKPS, Shah Alam adalah sebanyak RM400 dan sejak menyertai Tukar ia telah meningkat antara RM700 hingga RM800 sehari. "Peningkatan jualan juga berpunca kerana program ini telah membantu kami untuk memperbanyakan jenis-jenis barangan yang dijual," ujarnya. Kejayaan program TUKAR membuktikan bahawa dakwaan kedai runcit tradisional akan hilang ditelan zaman terbukti tidak benar sama sekali. Ia akan terus berkembang dengan sokongan semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan lain yang kini turut terlibat membangunkan usahawan kecil. Peruncit yang ingin menyertai program TUKAR boleh menghubungi pihak konsultan iaitu MYDIN, Carrefour dan Tesco atau Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di negeri masing-masing atau melayari laman web www.kpdnkk.gov.my.