Sabah, Sarawak sasaran ETP

Sabah dan Sarawak bakal diberi tumpuan bagi pembangunan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan datang.
Source: Utusan Malaysia - 20 April 2011

PUTRAJAYA 19 April – Sabah dan Sarawak bakal diberi tumpuan bagi pembangunan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan datang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, terdapat enam hingga tujuh projek ETP akan diumumkan di kedua-dua negeri tersebut. "Sehingga kini Perdana Menteri sudah mengumumkan lima laporan kemajuan projek-projek ETP di seluruh negara, dan untuk pengumuman akan datang, beliau dijangka memberitahu mengenai projek-projek di Sabah dan Sarawak," katanya.

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat media mengenai laporan kemajuan terkini projek-projek ETP kelima di Putrajaya. Taklimat disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib mengumumkan tujuh projek dan inisiatif baharu sambil mengimbas semula lima projek yang telah diumumkan 11 Mac lalu, termasuklah projek pembangunan Bandar Peranginan Bersepadu Karambunai di Sabah. Menurut Idris, beberapa sektor dikenalpasti untuk dibangunkan di bawah projek ETP iaitu minyak kelapa sawit, pertanian, minyak dan gas serta getah yang melibatkan penanaman semula getah di Sabah dan Sarawak.

"Senarainya sangat panjang, bagaimanapun kesemua projek ini sesuai dengan sumber yang dimiliki oleh kedua-dua negeri tersebut yang mana seperti diketahui Sabah terkenal dengan pengeluaran minyak sawit manakala Sarawak memiliki minyak dan gas, " katanya. Bagaimanapun, kata Idris, kesemua projek yang akan diumumkan itu tidak merangkumi projek-projek di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC). Selain itu, program transformasi kedai runcit (Tukar) yang akan dilaksanakan di seluruh negara juga akan diperluas ke Sabah dan Sarawak.

"Sebanyak 500 kedai-kedai runcit yang kecil akan terlibat di dalam program Tukar di mana kita akan membantu mereka menjalankan perniagaan dengan lebih baik, sekali gus meningkatkan hasil jualan mereka, " ujar beliau lagi.Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai proses bidaan bagi projek-projek ETP, Idris berkata: "Sesetengah projek berkaitan kerajaan, maka kerajaan akan melakukan proses bidaan. Tetapi, perlu difahami jika ia melibatkan sektor swasta, yang memiliki hampir keseluruhan projek, maka terserahlah kepada syarikat terbabit (untuk melakukan proses bidaan atau tidak), kerajaan hanya berperanan menyediakan kemudahan memberikan kelulusan sahaja," katanya. Sementara itu, pada majlis yang sama sebanyak lapan wakil syarikat menandatangani Ikrar Kewibawaan Korporat dan Prinsip-prinsip Anti-Rasuah Korporat di Malaysia.

Ia melibatkan tekad golongan korporat yang terlibat di dalam projek ETP untuk menolak sebarang corak rasuah di samping menegakkan ketelusan, keutuhan dan bertanggung jawab sepenuhnya di atas semua urusan mereka. Antara syarikat menandatangani ikrar tersebut adalah Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Mydin Mohamed Holdings Bhd. dan Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd.