Jabatan Peguam Negara, JAKIM draf Akta Halal

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Peguam Negara sedang menyiapkan draf Akta Halal bagi membolehkan jabatan berkenaan menguatkuasakan sendiri undang – undang berkaitan pengeluaran serta penggunaan logo halal di Malaysia pada masa depan.
Source: Berita Harian - 26 April 2011

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Peguam Negara sedang menyiapkan draf Akta Halal bagi membolehkan jabatan berkenaan menguatkuasakan sendiri undang – undang berkaitan pengeluaran serta penggunaan logo halal di Malaysia pada masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pengubalan akta itu perlu kerana mengikut peruntukan undang – undang sedia ada, JAKIM tiada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pemilik restoran atau syarikat yang tidak menggunakan sijil dan logo halal dikeluarkan jabatan berkenaan . Beliau berkata, pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 (APD) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi turut memberi kuasa penguatkuasaan yang diturunkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kepada JAKIM.

“Jabatan ini tetap memerlukan aktanya sendiri bagi meningkatkan keberkesanan tindakannya terhadap pihak yang menyalahgunakan sijil dan logo halal atau memalsukan dokumen berkenaan.Akta Halal diperlukan kerana ketika ini, tidak ada satu pun akta sedia ada yang jelas mengatakan pihak lain tidak boleh mengeluarkan sijil dan logo, yang akhirnya menyukarkan JAKIM menguatkuasakan peraturan itu.

“Dengan adanya akta baru ini, JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri dapat memperluaskan kuasa penguatkuasaan mereka merangkumi pelbagai aspek termasuk sumber makanan halal, pengeluaran dan penggunaan sijil halal,”katanya pada sidang media di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, semalam. Terdahulu, beliau menyampaikan amanat sempena pelantikan bekas Timbalan Ketua Pengarah JAKIM , Othman Mustapha selaku Ketua Pengarah JAKIM baru menggantikan Datuk Seri Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, yang bersara wajib minggu lalu.