Pernah tolak permohonan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pernah menolak permohonan untuk mendapatkan sijil halal bagi minuman dikenali bir halal yang diimport dari negara Timur Tengah
Source: Harian Metro - 31 May 2011

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pernah menolak permohonan untuk mendapatkan sijil halal bagi minuman dikenali bir halal yang diimport dari negara Timur Tengah. Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha berkata, ini kerana ia tidak menepati standard halal MS 1500:2009 dan tidak mematuhi prosedur halal.

"Jakim tidak pernah mengeluarkan sijil halal kepada produk minuman itu dikenali sebagai bir halal itu. Oleh itu, saya menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan memilih produk yang mempunyai sijil halal diiktiraf kerajaan,"katanya.Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Harian Metro, Sabtu lalu ujian oleh Jabatan Kimia terhadap minuman berkenaan yang didapati mengandungi tahap alkohol melebihi daripada dibenarkan.

Berdasarkan sampel minuman itu yang dihantar Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) ke Jabatan Kimia, ia didapati mengandungi 0.5 peratus kandungan alkohol, sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman dibenarkan syariat Islam tidak melebihi 0.01 peratus. Othman turut menasihatkan peniaga supaya lebih bertanggungjawab dan mengasingkan penjualan minuman berkenaan bagi mengelak kekeliruan di kalangan pengguna Islam.

"Peniaga dinasihatkan tidak mencampurkan minuman berkenaan dengan minuman halal yang lain. Ia bagi memastikan pengguna Islam mengetahui minuman itu haram."Pengguna Islam juga dinasihatkan jangan membeli minuman berkenaan kerana sudah dijelaskan ia mengandungi kandungan alkohol melebihi kadar ditetapkan,"katanya yang ditemui selepas merasmikan Program Jiwa Murni dan Berkhatan Beramai-Ramai Parlimen Sungai Siput, di Kampung Bawong, dekat Ipoh, semalam.

Othman berkata, Jakim tiada kuasa untuk menghalang pengguna Islam daripada membeli minuman itu, sebaliknya hanya boleh menasihatkan mereka supaya tidak meminumnya. Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Md Yusop Mansor berkata, pihaknya bersedia menjalankan operasi bagi membantu Jakim seperti mengawal kemasukan produk ke Malaysia, di samping mengambil kira cukai dan lesen import minuman itu. Namun katanya, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak mengenai bir halal itu. “Bab halal dan haram minuman berkenaan di bawah kuasa Jakim, tetapi sekiranya ada permintaan daripada agensi itu, kami bersedia melakukan operasi. Produk ini perlu diberi perhatian kerana ia berkaitan dengan alkohol," katanya, ketika dihubungi, semalam.