Mydin komited tingkat bimbing pekedai runcit

Lebih banyak hasil pengusaha menerusi TUKAR
Source: Berita Harian - 04 August 2011

MYDIN Mohamed Holdings Bhd komited untuk membimbing lebih banyak pekedai runcit menerusi program Projek Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) tahun depan berbanding hanya 100 sekarang jika diberikan peluang.

Pengurus Kanan Ibu Pejabat Mydin Mohamed Holdings Bhd, Norman Rajen Abdullah, berkata bagaimanapun ia tertakluk kepada kemampuan kewangan syarikat itu serta persetujuan kerajaan. Katanya, sehingga kini Mydin sudah membelanjakan kira-kira RM3.5 juta untuk mengubah 50 kedai runcit bimbingannya menerusi projek itu dan akan melaksanakan 50 lagi sehingga akhir tahun ini.

“Daripada jumlah itu, setiap kedai menerima peruntukan RM70,000 dengan RM20,000 diperuntukkan untuk khidmat 10 kakitangan kami yang dipinjamkan di kedai itu selama antara 10 hari ke dua minggu. “Kakitangan kami bertanggungjawab membantu dari segi susun atur barangan, khidmat nasihat pemodenan dan latihan peruncitan yang jika peroleh daripada pihak luar, kosnya bersamaan atau lebih RM20,000,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam. Katanya, selebihnya pula digunakan sebagai pusingan modal untuk peruncit memperoleh bekalan barangan daripada Mydin sendiri dengan maksimum adalah sehingga RM50,000.

“Ini adalah inisiatif kami untuk membantu peruncit kerana tiada guna memodenkan kedai tapi kekurangan bekalan barangan selain mereka turut dibenarkan untuk membayar semula secara ansuran dalam tempoh 12 bulan dan tidak dikenakan sebarang faedah. “Sejak diubah, semua peruncit di bawah kami menunjukkan peningkatan dari segi jualan dan pendapatan iaitu antara 30 peratus ke 100 peratus,” katanya.

Mydin diberi tanggungjawab untuk melakukan transformasi semua 100 peruncit di empat negeri iaitu Melaka sebanyak 13 kedai yang sudah berjaya ditransformasi, Pahang (dua), Terengganu (27) dan Kelantan, lapan kedai. “Bagi baki 50 kedai lagi, kami memberi tumpuan kepada peruncit di Pahang dan Kelantan yang kebanyakannya masih dalam proses untuk disiapkan,” katanya.