PUNB tumpu segmen borong

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) akan memberikan tumpuan semula kepada segmen
pemborong yang merupakan bahagian kritikal dalam pembangunan perniagaan.
Source: Utusan Malaysia - 03 October 2011

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dzulkifli Fadzilah berkata, tumpuan itu merupakan salah satu usaha untuk mengurangkan kos produk dan memastikan bekalan berterusan diterima oleh para peniaga runcit. ''Untuk memastikan kejayaannya, PUNB telah bekerjasama dengan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), ''Kami juga memberikan penekanan kepada sektor tertentu yang sukar dibangunkan seperti perkakasan (hardware) yang masih belum diteroka pengusaha Bumiputera pada masa ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Selain itu, Dzulkifli berkata PUNB juga akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) untuk membantu menggerakkan segmen pemborong ini. ''Antaranya adalah dengan Proton Holdings Bhd. (Proton) dan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas). Selain itu, kami turut bekerjasama dengan pengeluar tayar Goodyear untuk membantu usahawan Bumiputera kami terutama yang terlibat dalam segmen automotif. ''Berikutan permintaan terhadap perniagaan telekomunikasi yang tinggi PUNB turut membantu usahawan berbincang dengan syarikat telekomunikasi bagi menggalakkan bagi pembekalan kad pra bayar.

''Potensi bagi perniagaan tersebut adalah besar dan syarikat telekomunikasi telah bersetuju membantu usahawan-usahawan itu,'' jelasnya. Dzulkifli berkata, dengan konsep ekonomi terbuka yang dilakukan oleh negara China dan India, peluang untuk usahawan bumiputera tempatan mengimport terus dari sana adalah besar.

''Oleh itu, kami menyarankan supaya para usahawan bersatu dalam merancang untuk menjalankan perniagaan borong agar manfaat dapat diterima oleh peruncit,'' tambahnya. Sementara itu, PUNB turut mewujudkan Program Prosper TERAS untuk membangun dan membantu usahawan peruncit Bumiputera meningkatkan penglibatan mereka dalam sektor ekonomi dan menjadi penyumbang kepada masyarakat berpendapatan tinggi.

Prosper TERAS telah diilhamkan melalui makmal Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU). Dzulkifli berkata, TERAS adalah Transformasi Peruncitan Bumiputera dengan objektif menaik taraf perniagaan runcit untuk keseragaman jenama, susun atur produk, pilihan produk dan sistem bersepadu. Fokus bidang perniagaan di bawah program ini adalah pasar mini (mengguna pakai konsep MYDIN), automotif atau mana-mana subsektor industri peruncitan yang dikenal pasti mempunyai nilai tambah dan komersial tinggi. ''Antara syarat yang dikenakan adalah bumiputera berusia 18 tahun ke atas dengan rekod kewangan memuaskan dan perniagaan sedia ada dan telah beroperasi sekurang-kurangnya selama satu tahun,'' katanya.