Kedai TUKAR Mampu Jana Pendapatan Tinggi

Source: Berita Harian - 02 November 2011

Semua 315 pengusaha kedai runcit dalam program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) yang dilaksanakan kerajaan di bawah bidang ekonomi utama nasional (NKEA) borong dan runcit kini mampu menjana keuntungan antara 30 hingga 80 peratus lebih tinggi berbanding sebelumnya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala, berkata ia adalah sebahagian daripada 500 pengusaha kedai runcit yang disasarkan oleh program itu sehingga hujung tahun ini.

“Dalam separuh pertama tahun ini, 315 pengusaha runcit di seluruh negara yang menyertai program TUKAR menerusi bimbingan peruncit serta pemborong terkemuka tempatan seperti Mydin, Carrefour, Tesco dan Aeon, sudah tersenyum lebar kerana mereka kini mampu meraih margin keuntungan yang tinggi. “Prestasi memberangsangkan itu adalah hasil pemodenan kedai, termasuk susun atur rak, kemasan lantai, kawalan aliran tunai lebih baik dengan sistem pengurusan, selain memberi lebih pilihan barangan kepada pelanggan,” katanya pada taklimat khas sempena 12 bulan pertama pelancaran ETP di Kuala Lumpur, semalam.

Program TUKAR dilancarkan kerajaan pada Januari lalu bertujuan memodenkan kedai runcit tradisional sedia ada sekali gus dapat meningkatkan tahap daya saing dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif. Di bawah program itu, pasar raya besar akan bertindak sebagai pembimbing dan akan membantu memodenkan prasarana kedai runcit terpilih dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka.

Program berkenaan dijangka menyumbang kira-kira RM5.6 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) dan mewujudkan 512,500 peluang pekerjaan menjelang 2020. Di bawah program TUKAR, antara peruncit utama seperti Mydin, bersama-sama dua pasar raya asing, Carrefour dan TESCO bercadang melabur RM5.43 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang menerusi projek TUKAR bagi membantu memodenkan kedai runcit dalam usaha meningkatkan daya saing pemiliknya. Sebanyak 5,000 kedai runcit di seluruh negara yang dikenal pasti oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan terbabit dalam projek itu.