Mydin ke-2 di Melaka

Source: Harian Metro - 09 December 2011

JASIN: Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) melebarkan lagi sayap perniagaan apabila bakal membuka cawangan pasar raya besar keduanya di Melaka menerusi pelaburan berjumlah RM48 juta di Bandar Bestari, Mukim Ayer Panas di Jasin. Pasar raya yang bakal dibina di atas kawasan seluas enam hektar itu bukan saja menjadikan Jasin sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baru di Melaka, malah turut memberi banyak manfaat kepada masyarakat sekitar yang mahu mendapatkan bekalan keperluan harian. Pengarah Eksekutifnya, Murad Ali Mydin berkata, projek pembinaan bermula semalam bakal memenuhi keperluan penduduk bukan saja di sekitar Jasin, tetapi di Muar dan Tangkak di Johor, serta Gemas dan Johol di Negeri Sembilan.

Katanya, apabila memulakan operasi Julai tahun depan, pasar raya baru itu bakal menyediakan 300 peluang pekerjaan di samping memberi peluang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan memasarkan produk mereka. “Turut disediakan, medan selera, lot kedai, 600 lot tempat letak kereta, 150 tempat letak motosikal, surau dan taman permainan kanak-kanak,” katanya selepas upacara perasmian tapak pasar raya Mydin di sini semalam. Perasmian disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Md Yunos Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Muhamad.

Pembinaan pasar raya keduanya itu bukan saja mampu memberi manfaat kepada masyarakat sekitar, tetapi turut menyumbang kepada usaha kerajaan negeri yang mahu menjadi Jasin sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baru bagi Melaka. Murad berkata, pemilihan Bandar Bestari Jasin sebagai lokasi terbaru Mydin dianggap tepat kerana ia bakal menjadikan kawasan berkenaan sebagai tumpuan bukan saja di kalangan peniaga, malah orang ramai yang mahu mendapatkan pelbagai keperluan harian. Katanya, pihaknya turut yakin pembinaan itu akan menjadi sebahagian daripada proses pembangunan yang sudah dirancang kerajaan Melaka selain mewujudkan suasana meriah di kawasan berkenaan. “Premis itu kelak akan mempunyai pusat beli-belah, gerai, pusat jualan dan pameran produk (PKS), sekali gus membantu masyarakat setempat menjual produk masing-masing,” katanya