Mydin labur RM48j bina pasar raya baru

Source: Berita Harian - 09 December 2011

MYDIN Mohamed Holdings Bhd (Mydin) melabur sehingga RM48 juta bagi membangunkan sebuah lagi pasar raya besar di Melaka, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai antara hab perniagaan utamanya di Negara ini. Pasar raya baru yang akan dibina di tapak seluas enam hektar di Bandar Bestari Mukim Ayer Panas, dalam daerah Jasin itu, dijangka siap dan beroperasi pada Julai tahun depan.

Pengarah Eksekutifnya, Murad Ali Mydin, berkata pembangunan itu membabitkan pembinaan bangunan setingkat itu yang dilengkapi pusat beli – belah, gerai, pusat jualan dan pameran produk perusahaan kecil dan serdahana (PKS) selain daripada surau serta 600 tempat letak kenderaan dan 150 motosikal. Sebelum ini, Mydin turut membuka kemudahan serupa di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, selain emporium dan pasar raya 24 jam di Melaka Sentral. “Pemilihan Bandar Bestari Jasin sebagai lokasi terbaru pasar raya Mydin, bakal menjadikan kawasan berkenaan tumpuan, bukan saja dikalangan perniaga, malah orang ramai yang mahu mendapatkan keperluan harian.

“Apabila siap kelak, pasar raya itu juga akan menyediakan sehingga 300 peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar, di samping itu, member peluang perniagaan untuk PKS tempatan memasarkan produk mereka,” katanya selepas perasmian pecah tanah projek itu di Melaka semalam. Perasmian yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam itu turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Md Yunos Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Muhamad.