Buku Sejarah Penubuhan MYDIN

Source: Utusan Malaysia - 13 December 2011

Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) hari ini melancarkan buku Mydin Di Sebalik Tabir atau versi Inggerisnya, Mydin The Untold Story. Menurut penulisnya yang juga Pengarah Sumber Manusi Mydin, Datin Dr. Siti Hawa Mohd., buku itu mengisahkan pahit maung pengasasnya, Mydin Mohamed dalam dunia perniagaan sejak setengah abad lalu sehingga berjaya menempatkan nama Mydin sebagai salah sebuah pasar raya terbesar di negara ini.

“Buku ini boleh diperolehi di gedung buku MPH bermula hari ini dan di semua cawangan Mydin bermula minggu depan. “Saya mendapat idea untuk menulis tentang sejarah penubuhan Mydin ini sejak tahun 1998 lagi. Ketika itu, saya ditawarkan jawatan sebagai Pengarah Sumber Manusia Mydin, namun hanya dua tahun kebelakangan ini saya berkesempatan melengkapkan penulisan,” katanya. Turut hadir, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MPH, Datuk Ng Tieh Chuan. Buku tersebut dijual pada harga RM 12.90 untuk versi bahasa Melayu manakala RM 14.90 (bahasa Inggeris). Menurut Dr.Siti Hawa, kedua-dua versi buku itu juga boleh didapati dalam bentuk e-book bermula awal tahun depan.