Peruntukan RM500,000 bantu Orang Susah

Source: Kosmo - 30 December 2011

Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (IAM) telah membantu lebih 10, 000 orang yang terdiri daripada golongan miskin, anak yatim dan ibu tunggal membabitkan peruntukan kira-kira RM 500,000 sepanjang tahun ini. Presidennya, Zawahir Abdullah berkata, perbelanjaan itu diperoleh hasil sumbangan derma orang ramai serta jualan meja sempena majlis makan amal dan pihaknya memastikannya sampai kepada sasaran dengan bantuan sukarelawan IAM di seluruh negara.

“Kami memegang amanah semua pihak yang menderma dan turun padang sendiri menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan termasuk mangsa banjir dan bencana lain di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. “Walaupun bantuan yang diberi mungkin hanya pek makanan tetapi ia tetap bermakna kepada golongan yang terpinggir,” katanya kepada pemberita selepas program membeli-belah Kembali ke Sekolah dengan kerjasama Mydin Mall Kubang Kerian di sini kelmarin. Hadir sama, Pengerusi IAM negeri, Bustanol Ariffin Mohd. Kamal. Pada program yang sama, lebih 50 pelajar miskin dan anak yatim dari beberapa daerah di negeri ini dibawa ke pasar raya besar itu untuk menikmati sendiri pengalaman membeli kelengkapan baharu sempena musim persekolahan yang akan bermula minggu depan.

Mengulas mengenai program tersebut, Zawahir berkata, pelajar terbabit memilih sendiri kelengkapan seperti pakaian, alat tulis, kasut dan beg sekolah dengan dibantu sukarelawan IAM dan kakitangan Mydin Mall membabitkan perbelanjaan lebih RM 10,000. Jelasnya, pihaknya amat menghargai kerjasama yang diberikan pasar raya MYDIN yang memberi diskaun dan layanan istimewa kepada pelajar yang kurang bernasib itu. Pada program itu, dua beradik, Mohd Arif Haza, 11, dan Mohd Nizam, 10 dari Kampung Binjai Padang Terap, Pasir Mas di sini terharu kerana mendapat pakaian baharu untuk ke sekolah tahun hadapan. Mohd Arif yang merupakan anak kesepuluh daripada dua belas adik-beradik berkata ayah mereka, Haza Mahmood bekerja sebagai tukang kebun dan tidak mampu menyediakan kelengkapan persekolahan kepada mereka. “Dulu ada kawan-kawan yang mengejek saya kerana pakai baju lama dan kasut koyak. “Kali ini keadaan tentu lain kerana saya dapa dua pasang baju dan dua pasang kasut sekolah baharu dan saya janji untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang bercita-cita menjadi anggota polis.