MYDIN Kukuhkan Kedudukan

Source: Utusan Malaysia - 24 December 2011

Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) mengukuhkan lagi kedudukannya di Johor dengan pembukaan sebuah pasar raya besar di Kulai Utama. Pengarah Eksekutifnya, Murad Ali Mydin berkata, pasar raya besar Mydin yang ketujuh itu melibatkan pelaburan RM10 juta dan merupakan pasar raya besarnya yang pertama di negeri ini. Mydin juga merancang membina tiga lagi pasar raya di selatan tanah air dalam tempoh dua tahun akan datang. Murad Ali berkata, pasar raya besar yang baru dibuka berkeluasan 70,090 kaki persegi itu menjual barangan keperluan harian seperti produk makanan, barangan segar, sayur-sayuran, rempah ratus, produk sejuk beku dan lot kedai.

"Pembukaan pasar raya besar Mydin Kulai Utama ini juga berperanan untuk membantu menaik taraf kehidupan masyarakat setempat dengan menawarkan lebih 250 peluang pekerjaan. Sehingga kini seramai 200 pekerja ditempatkan di premis berkenaan. "Kami berkeyakinan untuk mendapat perolehan jualan antara RM8 juta hingga RM10 juta sebulan berdasarkan potensi kuasa beli di negeri ini ditambah dengan permintaan negara jiran, Singapura," katanya selepas merasmikan pasar raya itu di sini hari ini. Murad Ali memberitahu, tiga lagi pasar raya besar yang bakal dibuka dalam tempoh beberapa tahun akan datang akan ditempatkan di Taman Rinting, Pelangi Indah dan Mutiara Rini dengan kos pelaburan keseluruhan berjumlah RM290 juta.

"Ia membabitkan pembelian tanah dan pembinaan bangunan iaitu masing-masing RM140 juta di Mutiara Rini dan Taman Rinting, manakala di Pelangi Indah membabitkan kos RM100 juta," katanya. Menurutnya, pada tahun depan Mydin akan membuka tiga lagi pasar raya besar dengan dua di Ipoh, Perak manakala sebuah lagi di Alor Setar, Kedah. Mydin kini mempunyai 95 rangkaian perniagaan di seluruh negara yang terdiri daripada 18 buah emporium, pasar raya besar (7), kedai serbaneka 24 jam (9), pasar mini (52), francais (6) dan bazar (3).