IAM Peruntuk RM500,000 Bantu Golongan Kurang Bernasib Baik

Source: Sinar Harian - 29 December 2011

Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (IAM) memperuntukkan RM500,000 sepanjang tahun ini bagi membantu golongan kurang mampu. Presidennya, Zawahir Abdullah berkata, ia melibatkan 10,000 individu terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan mangsa bencana. “Pelbagai program diadakan dalam misi kemanusiaan seperti bantuan mangsa banjir, ibu tunggal, hari raya termasuk program kembali ke sekolah,” katanya pada program Kembali ke Sekolah Mydin Mall, Kubang Kerian, semalam. Menurutnya, IAM sentiasa berusaha membantu meringankan beban golongan memerlukan walaupun tidak mempunyai dana khas dari mana-mana badan korporat atau kerajaan.

Katanya, pertubuhan berkenaan hanya bergantung kepada dana daripada sukarelawan, rakan kerjasama pertubuhan, dan majlis makan malam untuk membiayai program tersebut. Mengulas mengenai program Kembali Ke Sekolah yang diadakan setiap tahun itu, Zawahir berkata, 50 anak yatim dan miskin dari negeri ini dipilih untuk dibawa membeli kelengkapan persekolahan masing-masing di pasar raya itu. Katanya, program berkenaan bertujuan meringankan beban ditanggung keluarga kanak-kanak berkenaan khususnya dalam membuat persediaan menghadapi sesi persekolahan 2012 nanti. Sementara itu, Pengurus Cawangan Mydin Mall, R Naidu berkata, pihaknya sentiasa memberi kerjasama kepada mana-mana pihak yang memilih pasar raya berkenaan untuk menjayakan sebarang program. Katanya, semua kakitangannya akan memberi komitmen sepenuhnya walaupun terpaksa menghentikan sementara tugasan masing-masing demi memastikan program diadakan mencapai matlamat dan memuaskan hati semua pihak.