MYDIN Labur RM12 juta Buka Pasar Raya Di Johor

Source: Berita Harian - 24 December 2011

Mydin Mohamed Holdings Berhad(MYDIN) melabur RM 12 juta bagi pembukaan Mydin Hypermarket yang pertama di Johor bertempat di sini, semalam, dalam usaha meningkatkan peluang perniagaannya meneroka pasaran lebih luas. Pengarah Eksekutifnya, Murad Ali Mydin, berkata Mydin Hypermarket Kulai menawarkan pelbagai barangan keperluan harian termasuk produk makanan, barangan segar, barangan elektrik dan rempah-ratus selain turut membuka lebih 250 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Bangunan yang menempatkan Mydin Hypermarket ini berkeluasan 21, 363 meter persegi dengan 14, 108 meter persegi adalah pasar raya, manakala selebihnya lot kedai biasa. “Bagi pasar raya ini, MYDIN memperuntukan RM 12 juta bagi tujuan ubah suai, sewa dan dekorasi dalaman yang akan menempatkan pelbagai seksyen jualan mengikut jenis produk,” katanya selepas merasmikan pasar raya itu yang terletak di Taman Kulai Utama, di sini semalam. Murad Ali berkata, pasar raya ini juga akan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) khususnya di Johor untuk memasarkan produk keluaran mereka. “Bagi menyokong PKS kami menyediakan ruang khas bagi produk keluaran mereka termasuk juga di cawangan lain. Selain itu, MYDIN juga turut membuka peluang kepada pengusaha PKS yang berminat menjadi sebahagian daripada pembangunan industri peruncitan di negara ini.

 “Sempena pembukaan rasmi ini juga, MYDIN akan mengadakan promosi khas terhadap barangan terpilih selain pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Rozita Che Wan, Zarina AF, Azza Elite, Erry Putra, dan Amyza Aznan, katanya. Beberapa program menarik juga turut diadakan seperti pertandingan makan sandwich, pencarian suara emas anak Johor, pertandingan mewarna dan demonstrasi masakan bagi memeriahkan suasana sambutan. Murad berkata, susulan kejayaan pembukaan pasar raya pertama di Kulai selepas tiga Mydin Mart iaitu Bandar Baru Uda dan Masai, Johor Bahru serta Anjung Neighborhood Centre, Nusajaya, pihaknya merancang untuk menambah cawangangan Mydin Hypermarket di Johor pada masa depan.