IAM Bantu Lebih 10,000 Golongan Miskin, Anak Yatim

Source: Utusan Malaysia - 29 December 2011

Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (IAM) membantu lebih 10, 000 orang daripada kumpulan sasar seperti golongan miskin, anak yatim dan ibu tunggal membabitkan peruntukan kira-kira RM 500, 000 sepanjang tahun ini. Presidennya, Zawahir Abdullah berkata, perbelanjaan yang diperoleh hasil sumbangan orang ramai serta jualan meja makan amal dipastikan sampai tepat kepada sasaran dengan bantuan sukarelawan IAM seluruh negara.

“Kami memegang amanah semua sahabat dan pihak menderma serta turun padang untuk menyampaikan bantuan kepada mereka memerlukan termasuk mangsa banjir dan bencana lain di seluruh negara termasuk Sarawak. “Walaupun bantuan diberi mungkin hanyalah pek makanan, tetapi ia tetap bermakna bagi golongan memerlukan bantuan dan terpinggir,” katanya selapas program membeli belah “Kembali ke Sekolah” dengan kerjasama Mydin Mall Kubang Kerian di sini, hari ini. Hadir sama, Pengerusi IAM negeri, Bustanol Ariffin Mohd. Kamal.

Pada program itu, lebih 50 pelajar miskin dan anak yatim dari beberapa daerah di negeri ini dibawa ke pasar raya besar itu untuk menikmati sendiri pengalaman membeli-belah kelengkapan baru sempena musim persekolahan yang akan bermula minggu depan. Mengulas mengenai program tersebut, Zawahir berkata, mereka memilih sendiri kelengkapan seperti pakaian, alat tulis, kasut dan beg sekolah dengan dibantu sukarelawan IAM dan kakitangan Mydin Mall membabitkan perbelanjaan lebih RM 10,000 atau RM 200 bagi setiap pelajar. Jelasnya, pihaknya amat menghargai kerjasama yang diberikan pasar raya MYDIN yang memberi diskaun dan layanan istimewa kepada pelajar yang kurang bernasib itu.