Mydin Melaka rai pelanggan lahir 1 Januari

Source: Utusan Malaysia - 10 January 2012

MELAKA 1 Jan. - Sempena sambutan tahun baru, kira-kira 20 pelanggan pasar raya Mydin, Ayer Keroh yang lahir pada 1 Januari diraikan dalam satu acara memotong kek secara beramai-ramai, semalam. Kek sepanjang 18.29 meter yang dihiasi dengan potret wajah bekas Perdana Menteri, ahli mesyuarat kerajaan negeri, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob itu kemudiannya diedarkan kepada semua pengunjung pasar raya berkenaan. Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Mohamad dan isteri, Datin Halimah Baba serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk R. Perumal turut hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Pengurus Cawangan Mydin, Sreedran Sankaran berkata, acara berkenaan adalah sebagai menghargai para pelanggannya yang menjadi tulang belakang kemajuan pasar raya Mydin sehingga berjaya dikenali sebagai pasar raya terbesar di negara ini. "Pelbagai acara telah kita sediakan sejak pagi (31 Disember) sehingga menjelangnya detik tahun baru yang merangkumi aspek kebudayaan semua kaum, Melayu, Cina dan India serta etnik Sabah dan Sarawak," katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis sambutan ambang tahun baru di pasar raya Mydin, Ayer Keroh di sini, semalam. Selain itu, katanya, para pelanggan juga dihiburkan dengan persembahan menarik dari artis popular tanah air iaitu Datuk Ali Mamak dan artis muda yang popular menerusi lagu Cinta Muka Buku, Najwa Latif. Dalam majlis itu juga, 100 anak yatim dan warga emas dari rumah kebajikan di negeri ini turut diraikan dengan sumbangan berupa barangan keperluan harian dan juga peralatan sekolah kepada anak yatim.