Bantu OKU Ke Tahap Lebih Tinggi

Source: Utusan Malaysia - 07 August 2012

Subang Jaya 6 Ogos - Badan-badan amal negeri disaran meneruskan inisiatif dan tidak berputus asa dalam melaksanakan pelbagai program yang dapat meningkatkan golongan orang kurang upaya (OKU) ke tahap lebih tinggi. Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti kerajaan, golongan korporat mahupun individu membolehkan kata sepakat dicapai bagi memastikan mereka sentiasa menjadi sebahagian daripada masyarakat.

bantu "Saya kerap kali menyatakan bahawa mereka perlu diberi lebih ruang untuk memainkan peranan secara lebih menyeluruh dan saksama agar dapat mencapai potensi maksimum sebagai anggota masyarakat yang mampu menyumbang ke arah pencapaian matlamat serta wawasan negara. "Justeru, saya menyeru kepada seluruh masyarakat agar kita tidak sesekali terlepas pandang terhadap kebajikan golongan OKU kerana walau apa sekalipun keadaannya, kita harus sentiasa bersedia untuk menerima kehadiran mereka di dalam masyarakat," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri program Semai Bakti kepada golongan OKU dekat sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Toh Puan Dr. Aishah Ong.

Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd. (MYDIN), Datuk Ameer Ali Mydin. Pada majlis itu, seramai 237 anak-anak OKU daripada tujuh buah pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur menerima sumbangan berupa duit, makanan dan pakaian raya. Rosmah yang juga Yang Dipertua Bakti berkata, masyarakat janganlah memandang enteng keupayaan anak-anak istimewa kerana setiap daripadanya mempunyai kelebihan masing-masing yang setara dengan anak-anak sempurna. "Saya amat mengharapkan tiada lagi kekangan minda dalam kalangan ibu bapa, guru-guru di PDK mahupun masyarakat sekeliling untuk mendidik serta membesarkan anak-anak ini agar mereka dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, Rosmah berkata, Bakti telah menyerahkan bantuan berjumlah RM10,000 untuk diagih-agihkan kepada anak-anak OKU di pusat PDK yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Menurutnya, sumbangan itu telah pun diserahkan kepada setiap Badan Amal Negeri yang menjalinkan kerjasama dengan Semai Bakti untuk disalurkan kepada pusat-pusat PDK yang berdaftar di negeri masing-masing.