Bukan telur tiruan

JPV sahkan telur ayam cacat dijual di pasaran
Source: Berita Harian - 12 April 2011

 

DR ABD AZIZ menunjukkan perbezaan telur sebenar dengan telur yang didakwa tiruan (kiri) pada sidang media di Wisma Tani di Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA -

PUTRAJAYA: Telur ayam tiruan yang didakwa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dijual di pasaran negara ini sebenarnya adalah ‘telur ayam cacat’ yang berkualiti rendah dan biasanya tidak dijual kepada umum.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin, berkata pemeriksaan pihaknya mendapati tidak ada telur ayam tiruan dijual di pasaran negara ini. “Berdasarkan pemeriksaan juga, telur tiruan yang didakwa CAP minggu lalu adalah telur ayam berkualiti rendah yang ada kecacatan sehingga menimbulkan keraguan di kalangan pengguna dan dianggap telur ayam tiruan,” katanya pada sidang media ketika mengumumkan perkara itu, semalam. Beliau berkata, penghasilan telur tiruan memerlukan kos yang tinggi dan tidak mungkin boleh dijual lebih rendah daripada telur ayam asli iaitu antara 32 sen hingga 25 sen sebiji mengikut gred. “Kita akan menyiasat bagaimana telur berkualiti rendah itu boleh dijual kepada orang ramai kerana selalunya telur seperti itu digunakan untuk keperluan industri tetapi bukan dijual kepada pengguna,” katanya.

Berikutan kekeliruan itu, Dr Abd Aziz berkata, satu sistem pensijilan akreditasi akan diperkenalkan bagi memastikan telur ayam yang dijual di pasaran memenuhi piawaian ditetapkan. “Kita mahu apabila sistem ini diperkenalkan maklumat seperti gred telur, kod ladang, tarikh lupus dicetak pada setiap biji telur supaya pengguna tahu dan yakin mengenai kualiti telur dibeli. Semua 340 ladang ayam penelur juga akan wajibkan berdaftar dengan jabatan.

Di KUALA LUMPUR, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) oleh Jabatan Kimia mengesahkan sampel telur yang didakwa telur tiruan di Pulau Pinang, adalah telur ayam.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan mengambil empat sampel telur yang didakwa telur tiruan itu dan menghantarnya ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi menentukan ketulenannya.“Berdasarkan keputusan analisis, didapati kandungan protein sampel telur berkenaan adalah sama dengan telur ayam. Analisis DNA mengesahkan sampel telur itu adalah telur ayam.

“Kementerian berharap orang ramai tampil membuat aduan jika meragui ketulenan telur kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.