Buku Sejarah Penubuhan MYDIN "Di Sebalik Tabir"

Mydin Mohamed Holdings Berhad semalam melancarkan buku sejarah penubuhannya, Mydin Di Sebalik Tabir, atau versi Inggerisnya Mydin The Untold Story. Buku yang menceritakan tentang sejarah pahit maung pengasasnya, Tuan Mydin Mohamed, dalam membangunkan perniagaan itu ditulis oleh Pengarah Sumber Manusia Mydin, Datin Dr. Siti Hawa Mohd. Menurut beliau, buku itu memuatkan kisah tentang bagaimana MYDIN bermula daripada sebuah perniagaan kecil-kecilan sehingga menjadi salah sebuah pasar raya terbesar di negara ini.

Tambahnya lagi, idea untuk menulis buku ini bermula sejak tahun 1998, iaitu ketika beliau ditawarkan jawatan sebagai Pengarah Sumber Manusia di Mydin. “Namun, hanya dua tahun kebelakangan ini saya baru berkesempatan untuk melengkapkan penulisan buku ini,” katanya. Buku ini sesuai bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan serta perniagaan, tanpa mengira umur dan latar belakang sosial. Segala nilai murni yang ditonjolkan dapat dijadikan panduan oleh para pembaca, terutamanya bagi yang berada dalam bidang perniagaan untuk menjadi seorang peniaga yang berdaya saing.

Harga bagi buku ini ialah RM 12.90 bagi versi bahasa Melayu manakala RM 14.90 untuk versi bahasa Inggeris. Majlis yang diadakan di Mid Valley Exhibition Center (MVEC) Mid Valley itu turut dihadiri Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Dato’ Ameer Ali Mydin, beserta Ketua Pegawai Eksekutif MPH Group, Datuk Ng Tieh Chuan. Para pembeli boleh mendapatkan buku ini di gedung buku MPH bermula semalam, serta di semua cawangan Mydin bermula minggu depan.
untold