|
17 Januari 2009 | myMetro
Buang sikap prejudis
Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
SUBANG JAYA: “Cubalah guna barangan keluaran kita...mana tahu, kita boleh jadi pengguna yang setia,” nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada masyarakat yang sering mempunyai persepsi negatif terhadap produk tempatan.
Beliau turut mengakui sebelum ini agak ragu-ragu dengan kualiti produk keluaran tempatan sehinggalah menggunakannya sendiri.
“Saya sebelum ini tidak pernah cuba tapi bila dah guna, saya dapati ia memang baik. Jadi saya harap orang ramai memilih membeli produk keluaran tempatan.
“Buanglah sikap prejudis mengenai produk tempatan dan bagi peluang kepada pengusaha kita memperkembangkan perniagaan,” katanya berucap pada majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia di Mydin Mall, di sini, semalam.
Pelancaran kempen itu turut dilakukan serentak di Boulevard Mall Kuching, Sarawak dan 1 Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Zain Mohd Dom dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin.
Abdullah berkata, tindakan orang ramai membeli produk keluaran tempatan bukan saja memberi kebaikan kepada pengusaha, malah ia mempunyai rantaian kesan terhadap ekonomi negara.
“Kita mahu barangan keluaran tempatan dibeli sebanyak-banyaknya oleh rakyat kerana ia mampu memberi peluang kepada pengeluar meningkatkan kualiti, mempelbagaikan produk, mewujudkan persaingan sihat dan menjana ekonomi negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah terbaik memastikan rakyat negara ini mampu hidup dalam keadaan baik walaupun dunia dilanda krisis ekonomi.
|