|
KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan memperketatkan garis panduan terhadap pasar raya besar di negara ini, termasuk pematuhan syarat penjualan 30 peratus produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini berikutan kegagalan hampir semua pasar raya besar mematuhi syarat berkenaan kerana hanya menjual 10 peratus produk PKS tempatan walaupun sudah lama beroperasi.
Beliau berkata, antara alasan diberi pengusaha pasar raya besar ialah pembungkusan produk PKS kurang menarik, sukar menyediakan bekalan secara konsisten dan produk tidak bermutu terutama aspek kebersihan walaupun mereka mendakwa sudah menyediakan pelbagai keistimewaan.
Antara keistimewaan itu adalah tidak mengenakan caj mempamerkan produk di rak jualan, meletak produk berkenaan sebaris produk import selain bayaran kredit kepada pengusaha PKS dibuat selewat-lewatnya 60 hari.
"Ini dakwaan pengusaha pasar raya besar. Tetapi kita juga menerima aduan antara masalah pengusaha PKS memasarkan produk di pasar raya besar ialah dikenakan bayaran tersembunyi yang membebankan.
"Kita akan mengadakan pertemuan dengan wakil PKS dan juga pengusaha pasar raya besar bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai perkara ini dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan mengejut ke beberapa pasar raya besar di sini, semalam.
Ismail Sabri berkata, maklum balas pertemuan dengan kedua-dua pihak itu akan digunakan bagi mewujudkan panduan lebih ketat serta menetapkan jangka masa kepada pasar raya besar untuk mematuhi syarat menjual 30 peratus produk PKS di premis masing-masing.
Selain itu, beliau berkata, kementerian juga sudah diarah meneliti semula pembukaan pasar raya besar yang sudah diluluskan tetapi belum dibina bagi memastikan kehadirannya tidak menjejaskan pengusaha pasar mini dan kedai runcit di kawasan sekitarnya.
"Banyak lesen pasar besar raya sudah dikeluarkan tetapi pembinaannya belum dijalankan. Kita meneliti perkara ini dan kalau perlu, kita menarik balik lesen jika lokasinya tidak sesuai dan tidak mematuhi syarat ditetapkan sebelum ini," katanya.
|