Main > Minum air kosong, elak pembaziran
|
Sinar Harian | Ahad, 21 Jun2009
Minum air kosong, elak pembaziran
Begitu sekali cara berjimat Mydin yang kadang kala tidak terlawan dek anak-anak.
|
|
Semua sedia maklum, Mydin merupakan jenama yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Menawarkan pelbagai barangan pada harga borong, premis niaga ini menerima kunjungan berbondong-bondong manusia setiap hari. Semuanya dengan satu matlamat, mendapatkan apa yang dihajati tanpa perlu membayar lebih.
Ironinya, slogan syarikat, ”Mengapa bayar lebih?” yang menjadi tarikan Mydin turut menjadi pegangan hidup pemilik nama lima patah abjad berkenaan. Kesempatan bersemuka anak keduanya, Dato’ Ameer Ali Mydin, 53 membuka banyak keistimewaan Mydin Mohamed, 82, yang selama ini hanya diketahui insan terapat.
Jika kebanyakan mereka yang berjaya berasa bangga mencanangkan bahawa kejayaan mereka bermula dari kesempitan hidup sejak kecil, namun Mydin pula sebaliknya. Sesungguhnya Mydin hidup diselimuti kemewahan lantaran status diri sebagai anak orang kaya di Pulau Pinang. Bayangkan sekitar tahun 1930an, keluarganya sudah mampu melaram dengan motokar dan rumah besar.
Namun segala-galanya hilang sejurus tamat Perang Jepun. Apabila kedai yang selama ini menjadi kebanggaan keluarga lebur dibom dan kehidupan mereka berubah secara keseluruhan. Daripada terbiasa senang, Mydin terpaksa bekerja keras termasuk menjadi penjual guni di kaki lima. Hingga sampai satu ketika, Mydin membawa keluarganya berhijrah ke Kota Bharu, Kelantan dengan harapan mahu membuka lembaran baru keluarga.
|

Bersama bapa di hadapan salah sebuah
hypermarket yang menjadi mercu tanda
kejayaan perniagaan
|
Namun begitu, tidak mudah untuk senang. Imbau Ameer, kelahirannya tujuh beradik tatkala si bapa masih sedang jerih bertungkus-lumus mencari sesuap nasi buat mereka.
”Apabila ke pasar, bapa hanya mampu membeli seekor ikan sahaja. Ikan itu dipotong tujuh sebelum dimasak kari. Tiba waktu makan kami adik-beradik diberi satu potong setiap seorang. Ibu dan bapa pula makan kuah sahaja,” kenangnya.
Cerita Ameer, ”Satu lagi contoh langkah berjimat yang bapa amalkan, apabila makan di kedai mamak dia akan memesan mee goreng bersama limau nipis dan air suam. Limau nipis itu kemudiannya diperah ke dalam air suam.
”Pernah saya katakan pada bapa, malulah. Kalau mahu minum air nipis, apa salahnya jika dipesan yang lain? Jawab bapa, kalau pesan air limau nipis sudah RM1.50 harganya. Sedangkan dengan berbuat begitu ia boleh diperoleh dengan percuma”.
Begitu sekali cara berjimat Mydin yang kadang-kala tidak terlawan dek anak-anak. Ameer juga cuba menerapkan sikap itu sedaya mampu ke dalam diri dua anak, hasil perkongsian hidupnya dengan Dr. Siti Hawa Mohd, 53, iaitu Amirah, 26 dan Iqbal 23. Hasilnya, sifat berjimat itu sudah menjadi rutin keluarga mereka. Setiap kali keluar makan di mana-mana, masing-masing hanya memesan air kosong sahaja. Selain menjimatkan, ia juga bagus untuk kesihatan, katanya.
"Sekarang anak-anak melanjutkan pelajaran di luar negara (Amerika Syarikat dan Australia). Setiap bulan saya beri duit belanja yang berpadanan.Jika mereka minta lebih, saya suruh mereka pandai-pandailah bekerja,” ujar Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd ini sambil tertawa mengenang anak lelaki yang terpaksa menjadi ’sandwich man’ untuk mendapatkan wang tambahan.
Kembali menyentuh kisah bapanya yang menjadi tabiat unik. Ameer berkata sehingga ke hari ini bapanya tidak pernah culas ke pasar raya mereka di cawangan Jalan Masjid India sekitar jam 9 pagi dan hanya akan pulang menjelang Maghrib. Hanya setelah dileteri ibunya, barulah Mydin melewatkan sedikit waktu kunjungannya kepada jam 10 pagi biarpun waktu balik kekal sama.
”Jika mahu bertemu dengan bapa saya, pergilah ke sana. Dia berada di bahagian minyak atar, berniaga sama seperti peniaga biasa,” pelawa Ameer. Ditanya apakah rahsia keutuhan hubungan kekeluargaan, Ameer yang baru sahaja menerima kad Hari Bapa istimewa bikinan anak perempuannya berkongsi petua.
”Setiap pagi Ahad, saya tidak pernah gagal (kecuali jika berada di luar daerah) untuk membawa isteri mengunjungi ibu bapa. Saya bersembang dengan bapa dalam 2 hingga 3 jam sambil minum teh. Setiap kali ada sambutan seperti Hari Jadi, Hari Ibu atau Hari Bapa pula, kami akan berkumpul dalam perjumpaan keluarga,” katanya.
Ameer juga menghubungi ibunya setiap hari biarpun cerita yang mereka bualkan lebih kurang sama. ”Bagi anak-anak saya, duduk semeja ketika sarapan dan makan malam adalah undang-undang keluarga, tidak boleh tidak. Jika ada janji temu untuk makan malam di luar sekalipun, mereka harus duduk bersama keluarga dahulu walaupun tidak mahu menjamah makanan. Sesiapapun jika mengamalkan rutin ini, insya-Allah hubungan dengan anak-anak pasti rapat,” katanya.
Tatkala ditanya apakah pengorbanan bapa paling besar, Ameer terdiam seketika. Dalam pada mengenang kepayahan yang pernah dilalui bapa ketika membesarkannya tujuh beradik, rupa-rupanya ada satu perkara yang paling melekat di hati.
|
"Orang nampak Mydin seorang yang gah, dan namanya ada di mana-mana. Tetapi hakikatnya, dia tiada apa-apa. Segala harta perniagaannya, rumah, kereta dan segala-galanya diletakkan dia atas nama anak-anak. Begitu besar sekali kepercayaan bapa kepada kami”.
”Apabila ada yang bertanya tidakkah dia bimbang tiada jaminan material, katanya dia meletakkan seratus peratus keyakinan pada empat berlian (merujuk kepada anak-anak lelaki) yang telah dididik sebaik mungkin,” tuturnya yang menjadikan amanat bapa supaya makan dari sumber yang halal sebagai peganganhidup dan perniagaan.
|

Suapan kek tanda kasih daripada bapa ketika meraikan majlis hari lahir
|
| |
|
|
|
 |
|
|
|