|
SUBANG JAYA- Unik dengan sokongan yang sungguh memberangsangkan adalah gambaran tepat dapat diberikan ketika Pertandingan Bola Keranjang 3 lawan 3 yang berlangsung di pusat beli belah Mydin Mall di sini.
Ia berikutan, aktiviti seperti ini biasanya dianjurkan di gelanggang sukan ataupun di kawasan padang yang mempunyai kemudahan diperlukan.
Namun pada penganjuran yang mendapat penyertaan 150 pelajar berusia antara 15 hingga 17 tahun itu, pertandingan diadakan secara percuma di tapak tempat letak kereta berhadapan pasaraya Mydin.
Pertandingan dianjurkan Kelab Sukan Bola Keranjang Subang Jaya yang diketuai Tong Nam Heang itu menerima penyertaan daripada remaja sekitar Subang Jaya USJ dan Bandar Sunway.
Penyelaras DUN Subang Jaya, Lee You Hin berkata, adalah dharapkan lebih banyak pengurusan pusat beli belah ataupun ahli perniagaan dapat menghulurkan bantuan sama ada dari segi wang ringgit atau hadiah dalam penganjuran sukan seperti itu.
“Melihat kepada kejayaan pertandingan itu, saya turut menggesa lebih banyak pusat beli-belah dapat membenarkan penggunaan premis pusat perniagaan mereka untuk tujuan dijalankan program.
“Malah saya turut menggesa pelajar-pelajar dapat menyertai banyak jenis pertandingan tidak kira bola keranjang mahupun lain pertandingan,”katanya.
Hadir sama dalam program itu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 4, Shafie Ng Bin Abdullah dan wakil Persatuan Belia Info Kebangsaan, Datuk Clement Tan.
Sementara itu Penyelaras Parlimen Kelana Jaya, Ong Chong Swen dalam ucapannya berkata, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada penganjur kerana berjaya mengendalikan pertandingan berkenaan dengan sambutan diterima yang menggalakkan.
Katanya, aktiviti sukan yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada pengurusan pusat beli-belah itu wajar dicontohi syarikat-syarikat membeli belah yang wujud di negeri ini.
|