ext2 ext3 ext4
Choose your language:
ENGLISH | B.MALAYSIA
Main  >  OKU dapat tempat di Mydin


Utusan Malaysia | 5 Dec 2009

OKU dapat tempat di Mydin

Menyedari kesulitan dialami orang kurang upaya (OKU) dalam mendapatkan pekerjaan, Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) memulakan inisiatif mengambil pekerja dari golongan tersebut bagi membantu mereka menjana pendapatan dan seterusnya menjalani kehidupan lebih sempurna.

Syarikat borong terbesar dalam negara yang mempunyai 47 cawangan di seluruh negara itu, tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk mengambil pekerja OKU di premis perniagaannya.

Pengarah Urusan, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, bukan sesuatu yang sukar untuk mengambil pekerja di kalangan OKU kerana mereka juga berkemampuan seperti orang normal yang lain cuma kekurangan fizikal sahaja yang menbezakan.

Katanya, kekurangan fizikal yang dialami tidak menghalang pekerja OKU memberikan komitmen yang tinggi terhadap pekerjaan. Malahan mutu kerja mereka juga lebih baik berbanding insan normal lain.

“Syarikat mula mengambil pekerja OKU kira-kira 10 tahun lalu kerana berkeyakinan dengan keupayaan dan kemampuan mereka melakukan kerja yang ditugaskan.

“Sehingga kini, terdapat kira-kira 31 orang kakitangan dari golongan OKU yang bekerja di tujuh buah premis Mydin di seluruh negara,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Mydin di USJ, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Ameer lagi, pekerja OKU mampu memberikan komitmen yang tinggi standing insan normal yang lain sekiranya diberikan peluang. Malahan golongan tersebut juga mempunyai budaya kerja yang tinggi seperti disiplin dan produktif.

Sehubungan itu, katanya, persepsi masyarakat yang membataskan kemampuan golongan tersebut sedangkan pada hakikatnya mereka juga mampu melakukan kerja dengan baik serta dedikasi.

Justeru, katanya, anggota masyarakat dan juga pihak majikan di negara ini khususnya harus mengubah persepsi bahawa OKU tidak mampu bekerja dengan baik serta menyusahkan.

“Saya ingin tegaskan, berdasarkan pengalaman warga OKU ternyata setanding malahan lebih baik kualiti kerjanya berbanding orang normal yang lain. Maka kita seharusnya memberikan peluang kepada mereka untuk membuktikan kemampuan.
“Apa yang penting ialah budaya kerja serta disiplin yang ditunjukkan warga OKU amat tinggi berbanding yang lain. Mungkin majikan boleh menempatkan mereka di bahagian yang agak sesuai dengan kemampuan dan keupayaan mereka,”katanya.

Sementara itu, Ameer Ali menyarankan agar pihak majikan di dalam negara tidak meminggirkan warga OKU kerana golongan tersebut juga memerlukan pendapatan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik seperti orang normal yang lain.

Sehubungan itu katanya, peluang juga harus diberikan sama-rata kepada OKU kerana mereka ini juga mempunyai pendidikan yang baik dan mampu menyumbang khidmat kepada syarikat.

© Copyright 2007. All rights reserved. Powered by