|
SEKUMPULAN 10 kanak-kanak daripada Rumah Compassion, Subang Jaya barangkali tidak dapat melupakan sesi membeli-belah, baru-baru ini.
Aktiviti itu mungkin ringkas, namun cukup bermakna apabila sepasukan tenaga kerja daripada Holiday Inn Glenmarie membawa mereka ke gedung Mydin Malls, USJ, Subang Jaya, untuk membeli barang keperluan.
Kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun itu berpeluang mendapatkan pakaian dan aksesori baru di gedung berkenaan. Hotel terbabit turut menyumbang sejumlah barangan kepada rumah amal terbabit.
“Usaha ini selaras dengan Winning Ways kami. Kami mengenal pasti kepentingan untuk membabitkan diri dengan masyarakat dan melakukan apa yang terdaya untuk tujuan amal.
“Melihat senyuman pada wajah kanak-kanak ini membuatkan segalanya begitu bermakna,” kata Penolong Pengurus Sumber Manusia hotel terbabit, Siti Noor Azwani yang mengetuai rombongan amal bersama kanak-kanak terbabit.
Acara membeli-belah untuk kanak-kanak kurang bernasib baik itu usaha amal pertama diadakan hotel berkenaan tahun ini dengan beberapa acara lain diatur untuk membantu golongan memerlukan sepanjang tahun ini.
|