Main > Mydin jangka untung RM60 juta - Kosmo
|
KOSMO | March, 5th 2010
Mydin jangka untung RM60 juta
|
 |
KOTA BHARU - Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) dijangka mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM60 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac ini.
Pengarah Urusannya, Dato' Ameer Ali Mydin berkata, keuntungan itu merupakan peningkatan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan sebelum cukai yang diraih pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, keyakinan pengguna dan sokongan mereka membeli-belah di pasar rayanya di seluruh negara merupakan antara faktor utama statistik keuntungan syarikat itu terus meningkat.
"Walaupun berlaku kelembapan ekonomi global dan memberi kesan kepada persekitaran ekonomi negara tetapi pasar raya kami (Mydin) yang berkonsepkan borong dan runcit ini terus mendapat sambutan dan kepercayaan masyarakat," katanya selepas merasmikan pasar raya besar Mydin Kubang Kerian di sini semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengasas Mydin, Mydin Mohamed.
Pasar raya besar Mydin Kubang Kerian yang dibangunkan di kawasan seluas 12,541.50 meter persegi itu berharga RM60 juta dan merupakan cawangan ke-50 di seluruh negara.
"Seramai 550 rakyat tempatan telah diambil bekerja di pasar raya besar ini," katanya.
Pada masa sekarang, Mydin telah membuka tiga cawangan di kelantan iaitu Mydin Wholesale Emporium dan Mydin Textile di sini serta Mydin Wholesale Emporium di Rantau Panjang.
Bagi perancangan masa depannya pula, syarikat akan membuka sebuah lagi pasar raya besar di Bandar Baru Tunjung di sini yang bakal beroperasi pada tahun 2012 dengan kos pelaburan sebanyak RM200 juta.
Selain di sini, Tiga pasar raya besarnya terletak di Subang Jaya, Terengganu dan Melaka manakala perancangan terbarunya ialah membuka empat lagi pasar raya besar masing-masing di Johor Bahru, Terengganu, Kuantan dan Ipoh.
|
|
|
 |
|
|
|