IAM Ceriakan Persekolahan

Source: Utusan Malaysia - 11 January 2012

1801 MEMBERI bukan bererti kita yang paling kaya manakala menerima pula bukan bererti kita yang paling miskin. Sebenarnya semua ini adalah ujian. Yang memberi dengan ujian memiliki, yang menerima dengan ujian ketiadaan. Memberi dan menerima adalah satu jalinan persaudaraan dan kasih sayang. Ia adalah perkongsian atas dasar peduli, prihatin dan tanggungjawab. Berulangkali Allah SWT berfirman di dalam al-Quran meminta hamba-hamba-Nya memberi kepada yang memerlukan. Ingatan ini pastinya sebagai tanda ingatan kita sebagai umat-Nya untuk membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.

Yang pasti terlalu banyak kelebihan yang akan diperoleh oleh hamba-Nya yang suka memberi secara ikhlas. Ganjaran bukan sahaja rezeki yang berlipat ganda juga kesihatan, kebahagiaan, ketenangan jiwa, kejayaan hidup dan sebagainya. Yang paling besar mendapat hidayah dari Allah SWT. Antara firman Allah SWT menyeru hambanya memberi dan kelebihan amalan memberi: Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk reda Allah dan untuk memperteguh jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyirami, maka embun pun memadai.

Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (Al-Baqarah: 265) Walaupun sesi persekolahan untuk tahun 2012 telah dua minggu bermula, masih ada yang belum mampu memiliki kelengkapan persekolahan yang sempurna. Demi merealisasikan matlamat untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan, Islamic Aid Malaysia (IAM) terus menghulurkan bantuan bagi membantu mereka. Program kemanusiaan yang bertemakan projek Kembali Ke Sekolah adalah antara program komuniti bagi membantu para pelajar yang kurang berkemampuan mendapat pembiayaan persediaan untuk kembali ke sekolah. Program ini memberi fokus kepada anak-anak yatim miskin dan anak-anak golongan fakir miskin di kawasan luar bandar.

Melalui program ini, IAM bersama rakan penaja akan membantu para pelajar yang terpilih untuk menyediakan kelengkapan persekolahan untuk sesi persekolahan 2012. Penyediaan kelengkapan persekolahan ini merangkumi uniform sekolah, kasut, beg sekolah dan juga alat tulis. Program ini akan dilaksanakan oleh para sukarelawan dan juga rakan kerjasama pertubuhan. Program ini telah dilancarkan sebulan yang lalu bagi memberi manfaat pada mereka yang memerlukannya. Di Kota Bharu, Kelantan, IAM membantu lebih 50 pelajar miskin dan juga anak yatim dari beberapa daerah sekitar Kota Bahru untuk merasai sendiri pengalaman membeli-belah kelengkapan baru persekolahan. Ada di antara mereka yang meluahkan rasa terharu atas pengalaman pertama itu.

Program ini mendapat kerjasama daripada pihak MYDIN di Kubang Kerian melalui penglibatan kakitangannya yang turut membantu kanak-kanak ini memilih barangan mereka. Konsep satu kanak-kanak satu kakitangan diperkenalkan bagi memudahkan proses pemilihan barang-barang persekolahan tersebut. Pengurus Cawangan MYDIN Kubang Kerian, R. Naidu berkata, pihaknya amat mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh IAM dan ini bukanlah kali kali pertama diadakan. "Ini juga sebahagian tanggungjawab sosial korporat kami untuk mendekati golongan kurang berkemampuan dan kami berharap dengan sumbangan ini mereka lebih bersemangat untuk belajar," katanya. Di Kuala Lumpur IAM turut membantu komuniti bandar yang dihimpit dengan kemiskinan. "Panggilan telefon yang dibuat kepada pihak IAM, nampaknya membuahkan hasil.

Saya sudah buntu, tidak tahu di mana mahu mengadu bagi membolehkan anak-anak saya mendapatkan baju sekolah beserta kelengkapan persekolahan untuk memulakan sesi persekolahan," kata Zuraida dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kepong yang mempunyai 11 anak dan tujuh daripadanya masih bersekolah. Katanya, hidup mereka umpama jatuh ditimpa tangga apabila beberapa hari sebelum sesi persekolahan bermula suaminya jatuh sakit. "Alhamdulillah dengan adanya bantuan ini, sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban persekolahan," katanya. Pada program itu, IAM membawa anak-anak Zuraida membeli pakaian dan kelengkapan persekolahan di MYDIN, Selayang. Usaha ini turut mendapat kerjasama kakitangan MYDIN yang diketuai oleh Syamsul Kamal Zulkefli. Seramai enam kakitangan terlibat secara langsung dalam aktiviti amal yang memakan masa kira-kira dua jam.

Di Alor Setar, program itu membabitkan bantuan kepada lebih 30 murid termasuk lapan anak yatim di Sekolah Kebangsaan Sri Mahawangsa, Kuala Sala. Walaupun sudah empat hari mereka memulakan sesi persekolahan, bantuan seumpama itu memastikan sesi persekolahan seceria kanak-kanak lain. Guru Besarnya, Shaari Alang terharu dengan penglibatan dan keprihatinan IAM membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan untuk persediaan kelengkapan persekolahan. "Jarang ada usaha seumpama ini terutamanya bagi kami yang berada di kawasan luar bandar dan saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan," akuinya. Kata Shaari, kanak-kanak yang terpilih rata-ratanya datang daripada keluarga yang susah di sekitar Kuala Sala. Sementara itu, Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, melalui program itu, anak-anak yang terpilih dibenarkan memilih sendiri kelengkapan seperti pakaian, kasut, alat tulis dan dibantu oleh sukarelawan IAM dan kakitangan MYDIN.

"Apa yang ingin kami berikan sebenarnya bukanlah pakaian serta barang kelengkapan persekolahan tetapi kasih sayang. "Sebelum ini, kami hanya menyumbangkan bantuan berbentuk pek makanan, namun atas dasar prihatin terhadap nasib kanak-kanak yang kurang berkemampuan bagi meneruskan sesi persekolahan. "Kami turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai khususnya golongan korporat untuk turut sama dalam menjayakan program amal ini," ujarnya. Jelas Zawahir, pihaknya amat menghargai kerjasama daripada Pasaraya MYDIN yang memberi diskaun dan layanan istimewa kepada pelajar yang kurang bernasib baik itu.