ICoE-PERKONGSIAN ILMU, PENCETUS INOVASI

Source: Berita Harian - 31 May 2012

Penubuhan Pusat Kecemerlangan Industri atau Industry Centre of Excellence (ICoE) bukan saja mampu mengenal pasti isu berkaitan pembangunan modal insan, malah membolehkan pemindahan maklumat dan perkongsian teknologi bagi membantu jaringan rangkaian pembekal yang menyokong pihak industri. Diperkenalkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah program utama bagi menangani isu kebolehpasaran graduan yang menyokong kelancaran Program Transformasi Ekonomi (ETP), ICoE dipacu industri tonggak (Anchor Company) dan disokong universiti selaku lead university cukup signifikan dalam menemukan sektor industri dan universiti ke arah usaha memastikan pembangunan modal insan berinovatif.

icoe Terbaru, KPT memperkenalkan ICoE Pemborongan dan Peruncitan bersama Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) dan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) yang menguasai hampir 80 peratus pasaran saham dalam bidang berkenaan. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Noordin, berkata penubuhan ICoE MRCA dilaksanakan dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan disokong Kolej Universiti Segi dengan menawarkan kerja sambilan kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik, kolej komuniti dan institut kemahiran. Katanya, MRCA tahun ini turut menawarkan latihan internship kepada 8,000 pelajar di 10,000 cawangannya dan jumlah itu dijangka meningkat selaras dengan penambahan cawangan iaitu 8,800 pelajar pada 2013 di 11,000 cawangan, 9,600 pelajar (12,000 cawangan pada 2014) dan 10,400 pelajar (13,000 cawangan pada 2015). “ICoE MYDIN pula menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perak dan UUM menerusi Program Peningkatan Pembekal (Vendor Development Programme).

Dengan perkembangan pesat rangkaian perniagaannya, MYDIN memerlukan ramai pekerja peringkat profesional, separuh mahir dan kurang mahir selain membantu industri kecil sederhana (IKS) atau EKS memasarkan produk mereka. “Tahun ini, MYDIN menyasarkan 1,178 pelajar menjalani latihan perantis di rangkaian kedainya termasuk pasar raya borong, emporium, pasar raya dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan jumlah penyertaan pelajar dijangka terus meningkat kepada 1,428 pada 2013 dan melonjak satu kali ganda kepada 3,175 pada 2014. Ini menjadikan keseluruhan 11,975 atau hampir 12,000 tempat ditawarkan kepada mahasiswa meneroka peluang internship dan perantis dalam bidang pemborongan dan peruncitan pada 2013,” katanya pada majlis pelancaran ICoE Pemborongan dan Peruncitan di Kolej Universiti Segi, Kota Damansara baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden MRCA, Datuk Nelson Kwok dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin. Beliau berkata, jumlah penawaran tempat yang tinggi oleh kedua-dua gergasi peruncitan runcit itu membuktikan ekonomi negara berada pada landasan yang mapan dan berpotensi untuk berkembang lebih pesat. Justeru itu, katanya, mahasiswa perlu menjadikan sektor pemborongan dan peruncitan sebagai salah satu bidang tumpuan baru yang harus diterokai biarpun tidak banyak IPT menawarkan kursus berkenaan secara langsung kerana ia mempunyai kekuatan tersendiri. “Mahasiswa boleh merebut peluang kerja sambilan yang ditawarkan industri dan syarikat terbabit bagi membantu menampung kos sara hidup dan pada masa memperoleh pengalaman berguna dalam bidang perniagaan dan peruncitan yang berupaya memupuk sifat keusahawanan dalam diri mahasiswa. “Di negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom, kerja sambilan menjadi amalan biasa dalam kalangan mahasiswanya berikutan kos sara hidup tinggi selain faktor yuran pengajian yang semakin menaik. Dengan bekerja sambilan, mereka didedahkan dengan dunia pekerjaan sebenar yang memberi kelebihan atau extra edge apabila tamat pengajian dan ini sewajarnya dicontohi mahasiswa kita di negara ini,” katanya.

Kerjasama pelaksanaan ICoE itu tidak hanya terbatas kepada sesebuah universiti kerana universiti yang dipilih bakal menjadi penghubung kepada IPT lain termasuk politeknik, kolej komuniti dan institusi kemahiran lain. Mohamed Khaled berkata, peranan sektor industri dan IPT dalam memastikan kelestarian ICoE perlu dipandang serius semua pihak bagi memastikan matlamat dan hala tuju dapat dikecapi terutama dalam menyokong pelaksanaan ETP serta meningkatkan kebolehpasaran graduan. “Pelaksanaan ICoE memerlukan komitmen dan dedikasi semua pihak khususnya pihak industri dan universiti bagi memastikan perkongsian pintar ini mampu menguntungkan banyak pihak. Dalam kata lain, ICoE adalah landasan terbaik dalam perkongsian ilmu, pencetus inovasi, mewujudkan amalan terbaik dan sumber maklumat bersistematik bagi perancangan sumber manusia,” katanya.

Tahun lalu, KPT melancarkan empat ICoE iaitu dua dalam bidang elektrik dan elektronik membabitkan kerjasama Infineon Kulim Kedah dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Infineon Melaka-Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Dua lagi ICoE dalam bidang automatif membabitkan Sapura Industrial dan Miyazu bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP), masing-masing dalam pengkhususan sistem suspensi dan die & mould.