Kedai Maznah berubah wajah

Kedai runcit Maznah atau Maznah Gemilang Enterprise yang terletak di Taman Merlimau Utara, Merlimau di sini kini sudah berubah wajah menjadi lebih menarik dan tersusun.
Source: Utusan Malaysia - 04 March 2011
MAZNAH Hussin menyusun barangan di kedai runcit miliknya, Maznah Gemilang Enterprise di bawah Program Transformasi Kedai Runcit di Merlimau Utara, Jasin, Melaka, semalam.

JASIN 3 Mac - Lima tahun lalu, kedai runcit mini milik Maznah Hussin, 41, tiada bezanya dengan kedai runcit lain di kawasan perniagaan Merlimau di sini. Namun itu cerita lama. Kedai runcit Maznah atau Maznah Gemilang Enterprise yang terletak di Taman Merlimau Utara, Merlimau di sini kini sudah berubah wajah menjadi lebih menarik dan tersusun. Semuanya bermula apabila kedai runcit Maznah yang diusahakan bersama suami,Mahmud Mohd. dipilih antara 500 kedai runcit di seluruh negara oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam program Tukar (transformasi kedai runcit).

Di bawah program itu, pasar raya besar seperti Mydin, Carrefour, Tesco dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) berperanan sebagai perunding kepada peruncit dalam aspek susun atur kedai, memberi latihan pengurusan, akaun dan pemikiran pemilik kedai runcit. Selain itu, kata Maznah, sebelum terpilih menyertai program Tukar, kedainya itu kurang mendapat perhatian dan dianggap seperti kedai runcit di kampung walaupun lokasinya terletak dalam kawasan perumahan.

Katanya, pada masa itu, hasil jualan harian daripada perniagaan kedai runcitnya itu gagal mencapai pendapatan yang disasarkan. "Sebelum ini mahu capai hasil jualan kasar RM3,000 sehari amat sukar sekali namun selepas menyertai program Tukar sejak sebulan lalu, hasil jualan mampu mencapai RM5,000, ia satu pencapaian yang amat luar biasa," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini. Maznah juga gembira dan menghargai keprihatinan menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana meluangkan masa meninjau operasi perniagaan runcit kedainya dalam lawatan kerja beliau ke Melaka hari ini.

Maznah Gemilang Enterprise adalah antara dua kedai runcit di kawasan ini yang terpilih untuk ditransformasikan dengan kerjasama Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) selaku konsultan dalam program Tukar anjuran kementerian selain sebuah lagi di Temerloh, Pahang.