Kempen Kebajikan Ke Sekolah

Source: Utusan Malaysia - 22 December 2011

2077 Mengimbau kembali pada masa dahulu, sebahagian besar daripada mereka yang berada di puncak kejayaan kebanyakannya berasal daripada keluarga yang serba kekurangan. Sewaktu kecil, mereka pernah merasa mempunyai hanya sepasang baju sekolah ataupun menyarung baju bersaiz besar yang telah digunakan oleh kakak atau abang. Malah ada malu ke sekolah kerana hanya memiliki pakaian compang-camping dan lusuh. Realitinya, ramai di kalangan mereka yang berjaya dan berjawatan besar hari pernah merasai erti kemiskinan.

Sama ada ketika di zaman persekolahan, ketika di kampus ataupun di peringkat awal kerjaya. Keadaan itu cukup menyakitkan dan mengaibkan. Bukan hanya pada orang tetapi juga pada diri sendiri. Oleh itu, setiap pelajar yang susah akan berazam untuk mengubah cara hidup dengan berusaha bersungguh-sungguh sehingga mendapat pekerjaan baik, sekali gus mengubah status kehidupan. Kita yang asalnya susah dan 'makan untuk hidup' kini bertukar senang dan kini 'hidup untuk makan' sehinggakan kesenangan yang dikecapi itu menjadikan segelintir daripada kita terlupa akan erti kemiskinan. Itulah pentingnya pendidikan kepada generasi muda dalam mengubah nasib hidup sesebuah keluarga.

Namun terdapat juga faktor kepincangan dalam pendidikan anak-anak adalah kerana berlakunya kesempitan hidup yang melampau. Sebenarnya kesempitan hidup bukan alasan untuk mendidik anak dengan baik. Banyak anak-anak dari golongan fakir yang berjaya dan soleh. Ibu bapa mereka berjaya mendidik dengan baik walaupun mempunyai kemampuan kewangan yang terhad. Namun tidak dinafikan, hakikat kesempitan hidup dan pengangguran sedikit sebanyak boleh menjejaskan kestabilan keluarga dan pendidikan anak-anak. 2078


Islam amat mengambil berat soal pengukuhan sosial umatnya. Syariat Islam bukan sahaja menyeru manusia bekerja kuat, bahkan mempunyai elemen-elemen sokongan untuk membasmi kemiskinan. Islam meletakkan asas yang kukuh agar kekayaan diagihkan dengan adil supaya golongan yang fakir atau miskin sentiasa terbela. Islam amat mengutamakan kesaksamaan, mensyariatkan zakat serta menggalakkan sedekah agar mereka yang berada terdorong untuk menghulurkan bantuan kepada yang susah.

Islam amat menggalakkan umatnya agar melindungi dan membantu mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal serta warga emas atau sakit dan tidak mampu menyara hidup. Ganjaran yang besar dan berganda ini dijanjikan kepada mereka yang sudi menghulurkan bantuan secara ikhlas. Jika umat Islam menghayati galakan Islam yang hebat ini, nescaya setiap pihak yang kurang bernasib baik pasti terbela. Walaupun harta bukan jaminan kepada kejayaan pendidikan anak-anak, namun ia sekurang-kurangnya dapat mengelakkan kemelaratan dan kesempitan yang mungkin menjerumus anak-anak ke lembah kerosakan akhlak. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 220 yang membawa maksud: Anak-anak yatim adalah amanah Allah SWT, orang yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan seadil-adilnya. 2079

Mereka telah dijanjikan limpah kurnia di dunia dan balasan syurga dan mendampingi baginda di syurga kelak. Ini jelas menunjukkan bahawa setiap ahli masyarakat juga mempunyai tanggungjawab sosial untuk menghulurkan bantuan demi meringankan bebanan rumah anak-anak yatim yang kadang-kadang mengharapkan bantuan daripada orang ramai. Ketika ini dengan sesi persekolahan bakal bermula, pasti ramai ibu bapa yang hidupm dibelenggu kemiskinan gusar bagaimana mahu menyediakan keperluan sekolah untuk anak-anak. Menjejaki anak-anak yang kurang berkemampuan dan membantu mengurangkan beban penderitaan mereka merupakan satu usaha kebajikan Islamic Aid Malaysia (IAM). Ini juga merupakan salah satu usaha dalam berkongsi nikmat yang telah Allah kurniakan bersama dengan mereka yang kurang berkemampuan.


Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat tujuh: Dan ingatlah tatkala tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras. Pernyataan syukur kepada Allah atas nikmatnya itu tidaklah memadai hanya mengucapkan dengan mulut sahaja, tetapi mestilah dilakukan dengan beramal soleh dan membuat kebajikan dengan hati yang ikhlas. Selain itu, mestilah nikmat itu digunakan pada jalan yang diredai Allah. Lebih bermakna andai nikmat rezeki yang dikurniakan itu dikongsi bersama mereka yang lebih memerlukan. Justeru itu, program kemanusiaan yang bertemakan projek Kembali Ke Sekolah merupakan program komuniti bagi membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan mendapatkan pembiayaan persediaan untuk kembali ke sekolah. Program itu menumpukan kepada anak-anak yatim miskin dan anak-anak fakir miskin di kawasan luar bandar.

2080 Melalui program tersebut IAM bersama rakan penaja akan bersama-sama membantu pelajar-pelajar terpilih untuk menyediakan kelengkapan persekolahan sebelum bermulanya sesi persekolahan 2012. Ia merangkumi seragam sekolah, kasut, beg sekolah dan juga alat tulis. Program berkenaan akan dilaksanakan oleh para sukarelawan dan juga rakan kerjasama pertubuhan. Objektif utama adalah mengurangkan beban golongan fakir miskin dalam membuat persediaan lengkap menjelang sesi persekolahan 2012. Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, ia merupakan antara program kemanusiaan yang telah dirancang setiap tahun bagi membantu dan meringankan beban kanak-kanak yang kurang berkemampuan untuk membuat persediaan ke sekolah. "Apa yang ingin kami berikan sebenarnya bukanlah pakaian serta barang kelengkapan persekolahan tetapi kasih sayang sebagai seorang bapa atau ibu.

"Kami akan menemani mereka untuk membeli dan memilih pakaian yang bersesuaian agar mereka dapat merasai sendiri bagaimana rakan-rakan mereka yang lain saban tahun ditemani oleh ayah atau ibu tersayang bagi membeli barangan keperluan sekolah. "Sebelum ini, kami hanya menyumbangkan bantuan berbentuk pek makanan, namun atas dasar prihatin terhadap nasib kanak-kanak yang kurang berkemampuan bagi meneruskan sesi persekolahan, pihak kami bercadang untuk membantu menyediakan kelengkapan persekolahan mereka. "Lebih menarik lagi, sesi bantuan ini turut melibatkan penyertaan kanak-kanak terpilih.


Mereka akan kami bawa mereka ke pusat membeli-belah untuk mereka merasai sendiri keseronokan membuat persiapan persekolahan. "Ini juga sebahagian tanggungjawab sosial korporat kami untuk mendekati golongan kurang berkemampuan ini," katanya. Setiap penerima manfaat akan diperuntukkan sebanyak RM150 untuk membeli kelengkapan sekolah yang diperlukan. Tambah Zawahir, aktiviti tahunan akan diperluaskan jumlah penerimanya pada masa akan datang. Harapannya, semoga kanak-kanak yang terpilih dalam program berkenaan akan merasa gembira kerana mendapat pakaian sekolah baru. Pihaknya juga turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai, khususnya golongan korporat untuk turut sama dalam menjayakan program amal ini. Sebarang bantuan yang ingin dihulurkan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia iaitu www.iam.org.my atau menghubungi pihak Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia di talian 03-89485939 / 019-3973558.