Labur RM22 Juta

MYDIN Mohamed Holdings Berhad (Mydin), pemilik pasar raya besar Mydin dan MyMydin di negara ini melabur kira-kira RM22 juta untuk membuka cawangan terbarunya yang pertama kali menawarkan produk barangan segar di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang.

MYDIN Mohamed Holdings Berhad (Mydin), pemilik pasar raya besar Mydin dan MyMydin di negara ini melabur kira-kira RM22 juta untuk membuka cawangan terbarunya yang pertama kali menawarkan produk barangan segar di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang.

Ameer... kelainan

Cawangan kelima pasar raya besar Mydin di Semenanjung Malaysia itu berbeza kerana menyediakan barangan segar seperti daging, makanan laut, sayur-sayuran, buah-buahan, makanan sejuk beku, makanan sedia dimakan dan pelbagai jenis minuman.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pembukaan pasar raya hiper itu bukan saja memberi satu kelainan kepada negeri ini, malah menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan baru kepada rakyat Pulau Pinang.

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan perolehan jualan kira-kira RM10 juta sebulan berdasarkan potensi kuasa beli di Pulau Pinang adalah tinggi kerana jumlah penduduknya yang ramai serta kawasan Bukit Jambul pula adalah sebuah kawasan yang sentiasa dikunjungi orang.

“Pasar raya besar ini mempunyai keluasan keseluruhan 150,000 kaki persegi dan kita juga menawarkan ruang niaga untuk disewa selain memberi peluang kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berniaga dalam pasar raya besar itu,” katanya selepas merasmikan pasaraya hiper Mydin di Pulau Pinang, semalam.

Hadir sama ialah Pengurusnya, Azmin Saduruddin. Katanya, pasar raya itu turut menyediakan medan selera membabitkan keluasan 15,000 kaki persegi yang dilengkapi lapan gerai makanan termasuk nasi kandar kepada pelanggan bagi menjamu selera.

Beliau berkata, pembukaan pasar raya hiper itu adalah selaras dengan sasaran pihaknya untuk membuka 14 cawangan baru pasar raya besar Mydin dalam tempoh tiga tahun menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) membabitkan kos RM1.6 bilion di seluruh negara.

Beliau berkata, bagi membantu dan memberi peluang kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera memasarkan produk mereka, pihaknya menyediakan ruang khas kepada mereka di dalam hipermarket berkenaan.

Selain itu, pihaknya turut menyediakan lebih 20 ruang niaga kios di hadapan pasar raya untuk usahawan tempatan memasarkan produk mereka.

“Kami juga akan membuka sebuah lagi pasar raya hiper di kawasan Bukit Mertajam, Seberang Perai menjelang Mac tahun ini selain pembukaan pasar raya hiper terbesar dalam rangkaian pasar raya Mydin dengan keluasan 750,000 kaki persegi di Meru Raya, Perak yang berkonsepkan mesra alam.

“Kini, Mydin mempunyai 68 cawangan secara keseluruhan di negara ini di mana 35 daripadanya adalah MyMydin dan bakinya adalah emporium dan pasar raya hiper,” katanya.