Latihan Pengusian Bangunan MYDIN Capai Matlamat

Source: Sinar Harian - 19 April 2012

Rantau Panjang- Program Pengusian Bangunan Pasaraya Mydin Rantau Panjang berjalan lancar, dan lebih baik berbanding latihan yang dilaksanakan pada tahun sebelumnya. Pengurus Cawangannya, Zamri Samat berkata, latihan pengusian bangunan berjaya mencapai matlamat, apabila kakitangan bertindak pantas menyelamatkan diri ke tempat selamat setelah loceng kecemasan dibunyikan.

Menurutnya, latihan melibatkan kira-kira 60 kakitangan ini dilaksanakan untuk memberikan pendedahan kepada pekerja di sini, tentang kepentingan menjaga keselamatan. “Latihan juga diadakan untuk menunjukkan kepada pelanggan, pihak Pasaraya MYDIN sentiasa menitik beratkan soal keselamatan pada setiap masa. “Latihan sebegini juga dilihat dapat mengeratkan hubungan pihak Pasaraya MYDIN dengan jabatan terlibat seperti bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya selepas Program Pengusian Bangunan Pasaraya MYDIN, pagi semalam. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Nashuha Fahd Ahmad Mijal berkata, beliau difahamkan latihan kali ini berjalan lebih baik berbanding tahun lalu., kerana turut melibatkan mangsa terperangkap di tingkat atas bangunan.

Menurutnya, pihaknya menggunakan tali keselematan untuk menyelamatkan mangsa terperangkap. “Latihan hari ini memperlihatkan kakitangan pasar raya memberikan tindak balas yang positif, dan dapat menyelamatkan diri masing-masing dengan keluar dari bangunan ke tempat selamat. “Kakitangan di sini peka dan tahu prosedur menyelamatkan diri ketika kecemasan serta tidak panik,” katanya. Ketua Operasi, Ghani Mamat pula berkata, latihan sebegini kerap kali diadakan di bangunan kerajaan, sekolah, pusat membeli-belah di bawah jagaan balai Bomba Rantau Panjang. Menurutnya, beliau menasihatkan pemilik premis supaya memastikan peralatan mencegah kebakaran di premis diselenggara dan boleh digunakan apabila diperlukan. “Ada ketika, penguatkuasa akan membuat lawatan ke premis tertentu setelah mendapat laporan, aduan mengatakan ada bahan bahaya yang boleh menyebabkan kebakaran dalam premis berkenaan,” katanya.