Misi Bantuan ke Rohingya

Kumpul RM30,000 dengan pembelian pek makanan
Source: Harian Metro - 24 August 2012

Kuala Lumpur : Sebanyak RM 30,000 berjaya dikumpul Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) setakat ini menerusi pembelian pek makanan di Pasar Raya Mydin dan Giant di seluruh negara untuk disalurkan kepada masyarakat Islam Rohingya, Myanmar. Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahman berkata, jumlah itu tidak termasuk pembelian kit kesihatan yang turut dijual di kedua-dua pasar raya berkenaan selepas persetujuan dicapai antara KP1M dengan beberapa pihak berkaitan. Katanya, maklum balas diterima daripada orang ramai begitu menggalakkan dan ada yang sudah menghantar bantuan ke khemah pengumpulan sumbangan di ibu pejabat KP1M di Jalan Kampung Attap di sini, sejak beberapa hari lalu. “Kami mengalu-alukan sumbangan daripada seluruh rakyat Malaysia termasuk warga Bangladesh dan Myanmar yang bekerja di negara ini. “Ia akan disampaikan terus kepada mangsa konflik di sana dengan perbelanjaan lain ditanggung sepenuhnya kelab,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

HM Abdul Azeez berkata, ketika ini, petugas mula sibuk mengumpulkan sumbangan berkenaan dengan pelbagai persediaan lain termasuk mempersiapkan pasukan perubatan misi itu yang diketuai Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Selayangm Datuk Dr. Alwi Abdul Rahman. Menurutnya, orang ramai hanya perlu membeli pek makanan bernilai RM100 di pasar raya berkenaan dan mengemukakan resit pembelian kepada KP1M bagi tujuan kutipan dengan setiap bungkusan akan tertera nama penyumbang sebagai menghargai bantuan diberikan. “Mereka hanya perlu memaklumkan kepada petugas di Giant dan Mydin untuk membeli pek bantuan KP1M dan kita akan uruskan pengumpulannya secepat mungkin. “Selepas semuanya selesai, pasukan peninjau akan dihantar ke sana pada 27 Oktober ini sebelum pasukan sukarelawan yang terdiri daripada 50 orang akan berlepas pada 31 Ogos dan terus berada di kawasan konflik sehingga 6 September. “Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi KP1M di No 66, Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur atau telefon di talian 1300881113 atau faks ke 03-22736678 atau 019-3177777,” katanya.