Mydin bina pasar raya RM150j di Ipoh

Mydin Mohamed Holdings Bhd., melabur sebanyak RM150 juta bagi pembinaan pasar raya besar baru di bandar Meru Raya di sini tahun ini.
Source: Utusan Malaysia - 06 January 2011

IPOH 6 Jan. - Mydin Mohamed Holdings Bhd., melabur sebanyak RM150 juta bagi pembinaan pasar raya besar baru di bandar Meru Raya di sini tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pasar raya yang mempunyai keluasan 760,000 kaki persegi itu sedang dibina dan dijangka siap akhir tahun ini.

Beliau berkata, kerja-kerja menanam cerucuk tapak pasar raya itu telah siap dan pembinaannya sedang dijalankan.

Katanya, pasar raya yang akan dibuka Mac tahun depan akan menyediakan lebih 1,200 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

"Pasar raya ini dibina dengan menggunakan konsep BioDcity iaitu mengutamakan konsep kelestarian alam seperti menanam lebih banyak pokok, penggunaan lampu T5 dan solar di premis berkenaan.

"Ia sejajar dengan seruan kerajaan negeri yang mengutamakan bandar kelestarian alam bagi pembangunan di sini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian BioDcity@MeruRaya oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di bandar Meru Raya di sini hari ini.

Mydin merupakan salah sebuah daripada enam syarikat yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri di Meru Raya di sini.

Ameer Ali berkata, ini merupakan pasar raya besar Mydin yang kelima dibina di negara ini.

Pada masa ini, Mydin mempunyai 65 cawangan di seluruh negara, termasuk empat pasar raya besar, 18 emporium, dua bazar, 24 pasar mini (MyMydin), tiga kedai kemudahan 24 jam (My Mart) dan enam francais (Mydin Mart).

Kata beliau, pihaknya membuka dua pasar raya di Perak sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negeri ini yang sedang meningkat.

Mengenai projek pasar raya mini (MyMydin) di Kampung Melayu, Manjoi di sini, Ameer Ali berkata, pasar raya itu akan tetap dibuka dan pihaknya sedang menunggu kelulusan pelan dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Kita jangka apabila pelan diluluskan

pembinaan akan disegerakan dan ia dijangka siap lebih awal dari pasar raya besar ini," katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak bimbang dengan persaingan pasar raya lain di negeri ini kerana Mydin mempunyai pelanggan tetap di sini.

"Saya mendapat tahu ada pelanggan kita pergi membeli-belah di pasar raya Mydin di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur," katanya.