MYDIN buka cawangan di Bukit Jambul

Optimis capai sasaran perolehan jualan RM10 juta sebulan
Source: Sinar Harian - 29 March 2011

SELARI dengan lokasi terletak di kawasan perumahan kos rendah dan kawasan perindustrian, Mydin Mohamed Holdings Berhad kini (Mydin) membuka cawangan barunya di kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang. Cawangan pasar raya ini mensasarkan golongan berpendapatan sederhana yang menawarkan pelbagai produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) keluaran Bumiputra.

Selaras dengan konsep mesra pelangan yang ditawarkan, pelaburan mencecah kira-kira RM22 juta dibelanjakan. Pengurus Besar cawangan ini, Azmin Saduruddin berkata, selain menawarkan produk yang diniagakan Bumiputra, pasar raya ini adalah cawangan pusat beli belah Mydin pertama menyediakan barangan kepada golongan Muslim termasuk kelengkapan menunaikan umrah dan haji. “Di sini segalanya cukup mudah, selain barangan Muslim anda juga boleh mendapatkan pelbagai barangan segar seperti daging dan sayur-sayuran dengan hanya singgah ke bahagian Pasar Segar, ia dijual pada harga berpatutan,” katanya sambil memberitahu kawasan letak kereta yang luas disediakan dengan kadar bayaran murah.

Mydin di Kompleks Bukit Jambul ini turut mensasarkan perolehan jualan kira-kira RM10 juta sebulan berdasarkan potensi kuasa beli di Pulau Pinang adalah tinggi kerana jumlah penduduk yang ramai serta kawasan Bukit Jambul adalah kawasan dikunjungi orang awam. Pasar raya ini turut menyediakan medan selera dengan keluasan 15,000 kaki persegi, dilengkapi lapan gerai makan termasuk nasi kandar kepada pelangan bagi menjamu selera. Istimewanya Mydin turut menyediakan lebih 20 ruang niaga berkonsepkan kios di hadapan pasar raya bagi usahawan tempatan memasarkan produk.