Mydin Buka Cawangan di Pasar Raya di Seremban

Source: Berita Harian - 19 October 2011

Syarikat pengendali pasar raya besar MYDIN, Mydin Mohamed Holdings Bhd akan melebarkan perniagaannya dengan pembukaan cawangan pasar raya besar keenamnya di sini, akhir Oktober depan membabitkan kira-kira RM10juta. Pengurus Kanannya, Norman Rajen Abdullah, berkata lokasi pasar raya besar itu adalah di Terminal 2 Kompleks Era Baru, di sini. Beliau berkata, pihaknya yakin lokasi berkenaan strategik kerana mempunyai pelbagai kemudahan terutama pengangkutan awam yang akan memudahkan orang ramai berkunjung.

“Kita akan menyewa bangunan dua tingkat di Terminal 2 dengan tingkat bawah menempatkan barangan keperluan harian dan tingkat atas pula menempatkan bahagian menjual pakaian, barangan elektrik, alat tulis, kraftangan dan aksesori.Pasar raya besar itu nanti dijangka menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 500 orang,” katanya. Beliau ditemui selepas perasmian program pemadanan perniagaan yang membabitkan seramai 50 usahawan industri asas tani serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terpilih dari negeri ini, Melaka dan Selangor dengan Mydin anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah FAMA negeri, A Rahaman Sulaiman. Norman Rajen berkata, walaupun terdapat beberapa pasar raya lain beroperasi di Seremban , pihaknya yakin MYDIN mempunyai tarikan tersendiri terutama dari segi harga berpatutan selain menjual produk tempatan dan tradisional.Mengenai kedai 1Malaysia, beliau berkata MYDIN merancang untuk membuka dua lagi cawangan di setiap negeri menjelang akhir tahun ini.

Setakat ini, Mydin mengendalikan tiga cawangan kedai 1Malaysia di Lembah Klang, katanya. Sementara itu, A Rahman berkata, program itu diharap dapat membantu usahawan PKS dalam usaha menerokai dan menembusi pasaran lebih meluas. Saya berharap usahawan mendapat gambaran dalam usaha menerokai pasaran baru bagi produk keluaran mereka, di samping membuka peluang penjualan secara pukal dan borong, khususnya melalui rangkaian pasar MYDIN di seluruh Negara,” katanya.