MYDIN Buka Cawangan Kedua DI Gugusan Manjoi

Source: Perak Today - 24 June 2012

Rangkaian pasar raya Mydin mengukuhkan kedudukannya di Perak dengan membuka rangkaian keduanya di Gugusan Manjoi selepas pasar raya pertama dibuka di Meru Raya, Mei lalu. Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pembukaan cawangan di penempatan Melayu itu bakal menjadi sebahagian daripada faktor peningkatan pembangunan ekonomi untuk penduduk Gugusan Manjoi dan kawasan sekitarnya. Perak Today

Bersesuaian dengan konsep menawarkan ‘Harga borong dan penjimatan sepanjang masa’, beliau berkata, pembukaan tersebut mampu membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana dari kawasan luar bandar menjimatkan perbelanjaan harian mereka. “Dengan tawaran harga berpatutan, penduduk setempat mempunyai pilihan baru untuk membeli belah dan secara tidak langsung menjana ekonomi setempat,” katanya. Selain itu, pembukaan rangkaian kedua di Ipoh itu juga merupakan usaha serta sokongan beliau membantu mempromosikan kempen Tahun Melawat Perak 2012. “Lokasi ini dipilih setelah menimbang-tara keadaan ekonomi dan fizikal masyarakat setempat,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Pembukaan Pasaraya Besar Mydin di Gugusan Manjoi, hari ini.

Perasmian disempurnakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahamad Husni Hanadzlah yang juga merangkap Ahli Parlimen Tambun. Turut hadir, Adun Manjoi, Datuk Nazri Ismail. Sementara itu, beliau berkata, bersesuaian dengan kepadatan penduduk yang terdiri daripada komuniti melayu pembukaan pasaraya itu mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat dan sekaligus mengurangkan kadar pengangguran dalam negara. “Ia membantu kakitangan baru untuk belajar serta menambah pengetahuan mereka terutama dalam bidang peruncitan,” jelasnya.

Cawangan kedua pasaraya besar Mydin itu berkeluasan 145,000 kaki persegi dengan bangunan dua tingkat yang menjual pelbagai jenis segmen barangan seperti pasar segar, aksesori, kesihatan dan kecantikan, pakaian dan barangan runcit pada harga berpatutan. Operasi pasaraya tersebut telah dibuka kepada orang ramai pada 22 Jun lalu dalam upacara perasmian secara sederhana oleh Pengasas serta Pengurus Mydin Mohamed Holdings Berhad, Tuan Mydin Mohamed.