MYDIN buka pasar raya Besar Manjoi April depan

Pusat membeli belah Pasaraya Besar Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) di Manjoi, Ipoh yang dibangunkan dengan perbelanjaan RM50 juta, dijangka beroperasi April depan.
Source: Sinar Harian - 05 September 2011

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pasaraya besar itu, adalah yang keenam selepas cawangan pasar raya besar di Pasir Mas, Rantau Panjang dan Kubang Kerian, yang kesemuanya terletak di Kelantan. “Pemilihan kawasan ini adalah kerana, ianya terletak di tengah-tengah perkampungan tradisional dan mampu memberikan peluang pekerjaan kepada anak tempatan di kawasan ini.

“Kita juga menyediakan peluang kepada anak tempatan untuk menjadi usahawan dengan menyediakan 18 lot perniagaan di dalam pasar raya besar dua tingkat ini,” katanya. Menurutnya, apabila beroperasi kelak, pasar raya besar itu menyediakan 300 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Selain pasaraya besar itu, Ameer berkata, syarikatnya turut melabur sebanyak RM150 juta bagi pembinaan pasar raya besar Mydin di Meru Raya yang terletak 20 minit dari Manjoi. Mengenai persaingan, beliau berkata, pihaknya tidak bimbang kerana walaupun MYDIN baru membuka cawangan di Ipoh, ia telah pun mempunyai pelanggan tetap.

“Saya mendapat tahu ada pelanggan kami pergi membeli-belah di pasar raya Mydin di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur,” katanya. Mydin menjalankan aktiviti perniagaan dan pemborong di dalam penjualan merangkumi makanan, peralatan rumah, pakaian, barangan elektrik, permainan, barangan dan lain-lain.Sehingga kini, Mydin mempunyai 74 cawangan di seluruh negara, termasuk lima pasar raya besar, 17 emporium, dua bazar, 36 mini pasaraya, lapan kedai kemudahan 24 jam (My Mart) dan enam francais Mydin Mart.