MYDIN Buka Pasaraya Besar Kelapan di Kedah

Source: mStar Online - 16 March 2012

Mydin Mohamed Holdings Berhad kini memiliki lapan pasaraya besar apabila cawangan terbaharunya di Taman Saga dekat sini, memulakan operasi, Khamis. Pengurus Besar Mydin cawangan utara Azmin Saduruddin berkata syarikat itu membelanjakan hampir RM34 juta untuk membina pasaraya besar terbaharu itu dengan sasaran jualan RM10 juta sebulan.

"Kita memilih kawasan ini (Taman Saga) kerana terletak dalam kawasan yang strategik, iaitu berdekatan dengan penempatan penduduk serta Lebuhraya Utara Selatan," katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan pasaraya besar itu, Khamis. Pasaraya besar yang pertama di Kedah itu dirasmikan oleh Pengasas dan Pengerusinya, Mydin Mohamed. Azmin berkata pasar raya besar Mydin itu, yang mula dibina 10 bulan lepas dengan keluasan 104,000 kaki persegi, itu turut menempatkan pelbagai kemudahan seperti surau, tandas, medan selera, kemudahan mesin ATM serta 16 lot gerai di dalam pasaraya dan 18 lot bazar di luar pasaraya yang menjual pakaian, tudung, kedai optik dan pelbagai gerai snek dan minuman.

"Selain lot-lot gerai, orang ramai boleh mendapatkan barangan 1Malaysia. Kita menyediakan kira-kira 150 jenis barangan 1Malaysia di pasaraya ini," katanya. Selain itu, Azmin berkata Mydin turut memasarkan kira-kira 60 peratus produkIndustri Kecil dan Sederhana (IKS) yang diberi keutamaan kepada produk masyarakat tempatan. Katanya Mydin mengalu-alukan pengusaha IKS yang ingin memasarkan produk mereka di pasaraya itu kerana pasaraya itu memberi keutamaan kepada produk-produk tempatan. Azmin berkata semua produk yang dipasarkan di Mydin adalah halal, bersih dan berkualiti. "Selain itu, pasaraya besar ini menyediakan kira-kira 300 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan," katanya. Ia dibuka setiap hari dari pukul 8.30 pagi hingga pukul 11 malam.