MYDIN Buka Premis ke-100 Di Manjoi

Source: Kosmo - 25 June 2012

Ipoh- Selepas membuka premisnya di Meru Raya di sini pada Mei lalu, Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) telah melebarkan lagi sayap perniagaannya dengan membuka sebuah pasar raya besarnya yang ke-10 dan cawangan kedua di Perak, di Kampung Manjoi di sini. kosmo

Pengarah Urusannya Datuk Ameer Ali Mydin berkata premis itu dipilih berdasarkan lokasinya yang strategik di bandar raya Ipoh selain kedudukannya sebagai antara perkampungan Melayu terbesar dengan memiliki lebih 40,000 penduduk. “Pembukaan premis ini membuka peluang pembangunan ekonomi setempat dan perniagaan model baharu yang dapat dimanfaatkan oleh penduduk yang berada di kawasan sekitar Manjoi. “Menerusi pembukaan pasar raya besar ini, MYDIN bakal mewujudkan 400 peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian pasar raya besar MYDIN Manjoi yang disempurnakan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di sini kelmarin. Katanya, pasar raya besar itu merupakan premis rangkaian MYDIN yang ke-100 di seluruh negara yang mana ia terdiri daripada 18 buah emporium, 10 buah pasar raya besar, sembilan buah kedai serbaneka 24 jam (MyMart), 54 buah pasar mini (MyMydin), enam buah francais (MydinMart) dan tiga buah bazaar. “Nilai pelaburan untuk pembangunan rangkaian terbaharu ini ialah sebanyak RM40 juta,” katanya. Tambah Ameer, pasar raya besar itu menawarkan pelbagai pdoduk termasuk barangan basah dan keperluan harian di tingkat bawah manakala tingkat atas menjual pakaian, barangan elektrik, alat tulis, aksesori dan kraftangan.