MYDIN Cipta Yee Sang Terpanjang

Source: Kosmo - 08 February 2012

Pasar raya Mydin mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila menghasilkan yee sang terpanjang di negara ini di sini malam kelmarin Hidangan tradisi masyarakat Cina sepanjang 880 meter itu dihasilkan selama dua hari oleh enam orang chef tempatan yang dibantu oleh 60 kakitangan Mydin di hadapan Pasar Raya Besar Mydin Ayer Keroh di sini. Majlis bertambah meriah apabila kira-kira 2,000 pengunjung pelbagai kaum membanjiri pasar raya itu untuk bersama-sama menggaul yee sang yang sinonim setiap kali tiba sambutan Tahun Baru Cina. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin dan Pengarah Urusan MBOR, Datuk Danny Ooi. Menurut Ameer Ali, acara membuat yee sang terpanjang sempena Tahun Baru Cina itu membuktikan Mydin meraikan semua perayaan di negara ini sambil mendukung semangat 1Malaysia.

“Semua perayaan utama di negara ini perlu dikongsi dan disambut bersama-sama oleh setiap orang tanpa mengira kaum dan agama dalam usaha mengekalkan keharmonian negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini malam kelmarin. Mengenai yee sang terpanjang itu, beliau berkata pihaknya telah membelanjakan sebanyak RM 80,000 untuk menyediakan ramuan membuat yee sang sepanjang 880 meter dan lebar 0.6 meter itu. “Ramuan tersebut ialah ikan salmon, hirisan sayuran lobak merah, lobak putih, kacang yang ditumbuk, halia, buah pamelo, jus lemon, rempah dan keropok rangup.